Vaksin Covid-19 bukan penyebab kanser

Peningkatan kes kanser yang berlaku di Malaysia dan seluruh dunia ketika ini bukan disebabkan oleh vaksin Covid-19. Gambar hiasan
Peningkatan kes kanser yang berlaku di Malaysia dan seluruh dunia ketika ini bukan disebabkan oleh vaksin Covid-19. Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Peningkatan kes kanser yang berlaku di Malaysia dan seluruh dunia ketika ini bukan disebabkan oleh vaksin Covid-19, sebaliknya ia berpunca daripada faktor lain termasuk gaya hidup tidak sihat dan kelewatan dalam menjalani pemeriksaan kesihatan semasa pandemik.

Pakar Perunding Kanan Onkologi & Radioterapi, Pusat Kanser & Radiosurgeri Hospital Pakar KPJ Damansara/ KPJ Healthcare University (KPJU), Profesor Madya Dr Aminudin Rahman Mohd Mydin berkata, terdapat banyak salah faham mengenai punca peningkatan kanser, khususnya dalam kalangan masyarakat yang mengaitkannya dengan vaksin Covid-19.

“Covid-19 dan vaksin bukan penyebab peningkatan kes kanser. Ini kerana trend peningkatan kanser bukan hanya berlaku di Malaysia, tetapi di seluruh dunia, termasuk dalam kalangan golongan muda,” katanya.

Menurutnya, situasi ini berlaku susulan tempoh pandemik dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyebabkan ramai individu mengabaikan pemeriksaan kesihatan.

“Ketika PKP, ramai takut keluar rumah dan tidak menjalani pemeriksaan kesihatan. Selain itu, gaya hidup tidak sihat seperti kurang bersenam, pengambilan makanan tidak seimbang, obesiti, merokok dan penggunaan vape turut menjadi faktor risiko yang menyumbang kepada peningkatan kes kanser,” katanya.

Tambahnya, selepas pandemik berakhir, peningkatan kes kanser mula dikesan kerana lebih ramai individu kembali menjalani pemeriksaan kesihatan dan saringan.

Dr Aminudin turut merujuk kepada laporan terkini dalam jurnal perubatan antarabangsa The Lancet, yang mendapati pencemaran udara merupakan antara faktor utama peningkatan kes kanser, terutamanya kanser paru-paru dalam kalangan bukan perokok.

“Di China dan negara-negara Asia Timur, pencemaran udara dikenal pasti sebagai punca kanser paru-paru yang meningkat, terutama dalam kalangan wanita dan individu yang mempunyai paru-paru lebih sensitif,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kadar kematian akibat kanser di Malaysia turut meningkat kerana kebanyakan pesakit hanya mendapatkan rawatan ketika penyakit berada pada tahap serius.

Beliau menekankan kepentingan ujian saringan bagi mengesan kanser pada peringkat awal, sekali gus meningkatkan peluang rawatan berkesan.

Sementara itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar turut menegaskan bahawa setakat ini tiada bukti saintifik yang sahih menunjukkan vaksin Covid-19 menyebabkan kanser.

Menurutnya, dakwaan bahawa vaksin Covid-19 menjadi penyebab kanser tidak mempunyai asas kukuh dan belum terbukti secara klinikal.

“Sehingga kini, belum ada bukti sahih menunjukkan vaksin Covid-19 sebagai punca kanser. Faktor risiko utama masih berkaitan dengan gaya hidup dan persekitaran,” katanya.

Tegasnya, masyarakat perlu berpegang kepada fakta perubatan yang berasaskan bukti dan tidak mudah terpengaruh dengan maklumat yang tidak disahkan.

“Apa yang lebih penting ialah lakukan saringan kesihatan dan amalkan gaya hidup sihat,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!