Suspek kes bunuh, kerat wanita tiba di mahkamah


KOTA KINABALU - Suspek kes bunuh dan kerat wanita sebelum anggota badannya ditemui di tempat pembuangan sampah di Taman Indah Permai, Sepanggar, tiba di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu pada Jumaat.
Suspek berusia 71 tahun itu tiba sekitar jam 8.25 pagi menaiki van polis dengan diiringi unit kereta peronda polis (MPV).
Suspek difahamkan akan didakwa di Mahkamah Majistret mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh.
Sebelum itu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun mengesahkan bahawa suspek akan dituduh di mahkamah pada minggu ini.
Dalam kejadian 12 Februari lalu, wanita berusia 44 tahun dibunuh dan anggota badannya dikerat sebelum dibuang di kawasan pembuangan sampah di taman berkenaan.
Suspek dipercayai tunang mangsa, telah ditahan pada hari sama.
Tiga lagi individu, anak suspek utama yang terdiri daripada seorang lelaki dan dua wanita, turut ditahan untuk membantu siasatan.
Setakat ini, dua lagi anggota badan mangsa, iaitu bahagian kaki kiri dan tangan kanan, masih belum ditemui.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
