Penyelia kedai runcit maut ditetak akibat lewat bayar gaji

SHAH ALAM - Gara-gara tidak berpuas hati berkaitan kelewatan pembayaran gaji, penyelia kedai runcit maut ditetak pekerjanya dalam kejadian di hadapan deretan kedai di Seksyen 7, di sini pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati mangsa merupakan lelaki warga asing berumur 45 tahun.
"Maklumat berkaitan kejadian disalurkan orang awam kira-kira jam 8.26 pagi setelah mendapati mangsa dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah di lokasi berkenaan.
"Pemeriksaan pegawai perubatan mendapati mangsa telah meninggal dunia selain terdapat kesan kecederaan di bahagian kepala, badan dan tangan akibat diserang menggunakan objek tajam," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.
Katanya, siasatan mendapati beberapa orang awam di lokasi kejadian mendengar pertengkaran mulut dalam kedai runcit terbabit.
"Pertengkaran dipercayai melibatkan mangsa dengan pekerja kedai berkenaan berkaitan isu kelewatan bayaran gaji sebelum berlaku pergelutan antara mereka.
"Mangsa kemudiannya diserang menggunakan pisau pemotong daging dan ditetak berulang kali oleh pekerjanya sehingga jatuh terbaring di tempat kejadian," katanya.
Menurutnya, siasatan dijalankan kemudian membawa tangkapan lima individu dipercayai terlibat dalam kejadian.
"Kesemua individu terbabit terdiri daripada tiga lelaki berumur 37, 39 dan 33 tahun serta dua wanita masing-masing berumur 44 dan 53 tahun ditahan untuk siasatan lanjut.
"Kesemua mereka diberkas kira-kira jam 1.49 petang di hadapan kedai runcit berkenaan, semakan mendapati kesemua suspek tiada sebarang rekod jenayah serta hasil ujian saringan awal air kencing juga mendapati mereka negatif dadah," katanya.
Mohd Iqbal berkata, kesemua suspek kini direman tujuh hari untuk siasatan selanjutnya.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau melihat kejadian yang berlaku boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah Asisten Suprintendan Mohd Afandi Ahmad di talian 0167252948," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!