Tidak dapat gaji tiga bulan punca penyelia maut ditetak

SHAH ALAM - Penyelia kedai runcit yang maut ditetak pekerjanya dalam kejadian di Seksyen 7 di sini, Jumaat lalu dipercayai lewat membayar gaji selama tiga bulan.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, suspek dipercayai tidak berpuas hati akibat tidak menerima bayaran gaji lebih RM2,000 yang patut diterimanya pada 10 Februari lalu.
"Siasatan mendapati kejadian berpunca akibat kelewatan pembayaran gaji selama tiga bulan mengakibatkan suspek tidak berpuas hati sebelum pertengkaran berlaku.
"Suspek kemudian dipercayai bertindak menetak mangsa beberapa kali menggunakan pisau pemotong daging mengakibatkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Katanya, setakat ini siasatan lanjut berhubung kejadian masih dijalankan.
"Polis telah menahan lima suspek terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita termasuk suspek utama untuk siasatan lanjut.
"Siasatan bagi kes ini dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang penyelia kedai runcit maut ditetak pekerjanya di Seksyen 7, di sini pada Jumaat.
Mangsa berumur 45 tahun yang ditemukan orang awam dalam keadaan berlumuran darah sebelum melaporkannya kepada pihak polis kira-kira jam 8.26 pagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

