Jiran tidak tahu suspek kes amuk hidap masalah mental

SUNGAI PETANI - Penduduk di Taman Seri Astana di sini tidak mengetahui bahawa bekas guru agama yang juga suspek kes amuk pada Jumaat petang adalah pesakit mental.
Mohd Aqif Zamri, 26, berkata, suspek yang tinggal bersama ibu bapanya kira-kira setahun yang lalu seorang yang pendiam dan banyak menyendiri.
Menurutnya, keluarga mereka juga banyak menghabiskan masa dalam rumah dan tidak bercampur dengan jiran.
“Saya tidak sangka suspek bertindak ganas hingga mencederakan anggota polis yang datang untuk menenangkannya.
"Kami penduduk sekitar sini juga tak tahu yang suspek mengalami masalah mental. Hanya selepas kejadian itu baharu kami tahu dia mengamuk dipercayai kerana telah lama tidak makan ubat akibat penyakitnya,” katanya ketika ditemui di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, Mohd Soyuti Abdullah, 50, berkata, ketika kejadian dia sedang berehat di hadapan rumahnya sebelum tiba-tiba terdengar suara seperti orang bergaduh.
“Saya kemudiannya melihat dua orang anggota polis yang berpakaian preman dikejar oleh seorang lelaki bersenjatakan dua bilah parang panjang.
"Lelaki itu sangat agresif serta turut menjerit kata dia tidak takut polis, berapa orang datang pun dia akan membunuh mereka. Risau keselamatan diri saya bergegas menyembunyikan diri di bahagian ruang parkir,” ujarnya.
Mohd Soyuti berkata, drama amukan itu tidak terhenti di situ apabila lelaki terbabit kemudiannya melibas parang panjangnya dan mengenai salah seorang anggota polis berkenaan.
“Dia kemudian masuk dan menguncikan pintu di dalam rumah milik keluarganya sejurus selepas itu. Saya dan beberapa penduduk lain sempat memberi rawatan awal kepada dua anggota polis yang cedera sebelum mereka dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul
Halim (HSAH),”ujarnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kejadian pada jam 3 petang itu berlaku ketika suspek menghayunkan parang sehingga mengakibatkan polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan amaran ke udara.
Katanya, amukan itu menyebabkan keempat-empat anggota mengalami kecederaan di kepala, bahu dan tangan.
“Sebelum itu dua anggota terlebih dahulu pergi ke rumah suspek untuk menahannya bagaimanapun suspek enggan memberi kerjasama dan bertindak agresif.
“Dua anggota berkenaan memasuki rumah suspek dan ketika itu suspek yang sudah bersedia dengan dua bilah parang di tangan sebelum melibas lalu mengenai bahagian kepala dan bahu dua anggota polis,”katanya.
Menurutnya, tidak lama kemudian anggota tambahan kembali semula ke rumah itu dengan bantuan anggota bomba untuk menyembur air.
“Ketika itu suspek sekali lagi melibaskan parang mengenai dua lagi anggota polis,”ujarnya.
Wan Azharuddin berkata, suspek yang berusia 32 tahun itu bagaimanapun berjaya ditahan dan di bawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani.
“Dia disahkan meninggal dunia pada jam 1.04 pagi tadi ketika menerima rawatan.
“Sementara itu keempat-empat anggota berusia 20 hingga 50 an yang cedera kini berada dalam keadaan stabil dan sedang dirawat di hospital sama.Kes disiasat di bawah Seksyen 307 kerana cubaan membunuh,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
