'Wanita buat COD elak pakai barangan kemas'

Nurul Amalina Azwa akan berkongsi lokasi 'live' kepada suami setiap hari setiap kali keluar COD makanan supaya tahu di mana lokasinya berada. (Gambar kanan: Nur Alya Iwani cuba elak bekerja pada sebelah malam untuk keselamatan.)
Nurul Amalina Azwa akan berkongsi lokasi 'live' kepada suami setiap hari setiap kali keluar COD makanan supaya tahu di mana lokasinya berada. (Gambar kanan: Nur Alya Iwani cuba elak bekerja pada sebelah malam untuk keselamatan.)
A
A
A

KOTA BHARU - Wanita yang menjalankan urus niaga secara hantaran (COD) menjadikan amalan berkongsi lokasi 'live' kepada ahli keluarga dan tidak memakai barangan kemas serta mengelakkan bekerja pada waktu malam sebagai langkah keselamatan.

Nurul Amalina Azwa Yuslan 31, berkata, selain itu dia turut berdoa supaya tidak bertemu pelanggan atau individu yang mempunyai niat jahat.

"Sepanjang lapan tahun mencari rezeki melalui cara tersebut saya telah melalui pelbagai pengalaman termasuk terserempak dengan hantu. Saya sudah beberapa kali berdepan dengan kejadian itu sehingga demam dibuatnya. Namun demi mencari rezeki saya tetap beranikan diri.

"Setiap hari setiap kali keluar COD makanan saya akan berkongsi lokasi 'live' kepada suami. Supaya dia tahu di mana lokasi berada," katanya kepada Sinar Harian semasa tinjauan dilakukan berhubung kes seorang peniaga makanan wanita tempatan berusia 37 tahun ditemukan mati semasa melakukan COD di Kuantan, Pahang pada Jumaat.

Menurutnya yang berniaga mi kari, roti daging, serta pelbagai jenis makanan itu memberitahu, dia akan berdepan cabaran apabila tiba musim perayaan.

Nasirah sering berpesan kepada lebih 30 ejen yang terdiri daripada wanita untuk elak memakai barangan kemas semasa melakukan COD.
Nasirah sering berpesan kepada lebih 30 ejen yang terdiri daripada wanita untuk elak memakai barangan kemas semasa melakukan COD.

Ujarnya, setiap kali Aidilfitri dan Aidiladha dia terpaksa keluar COD lemang pada lewat malam sehingga menjelang subuh kerana pelanggan ingin menikmati hidangan tersebut panas-panas.

Artikel Berkaitan:

"Jadi sepanjang penghantaran saya akan berkongsi lokasi 'live' bagi memastikan suami serta ahli keluarga tahu di mana berada selain berdoa supaya ALLAH sentiasa melindungi dari bahaya," kata ibu kepada empat orang anak itu.

Bagi peniaga pani puri ayam masala pula, Nasirah Ishak, 31, berkata, dia sering berpesan kepada lebih 30 ejen yang terdiri daripada wanita untuk elak memakai barangan kemas semasa melakukan COD.

Dia memberitahu, ia bagi mengelakkan ejen menjadi perhatian kepada mereka yang berniat jahat selain membiasakan diri menggunakan aplikasi jejak.

Katanya, hal ini kerana mereka perlu berdepan dengan pelbagai kerenah pelanggan malah kawasan penghantaran juga ada yang jauh di pelusuk kampung serta laluan sunyi.

"Lebih-lebih lagi kami ini wanita, keselamatan lebih penting sepanjang mencari rezeki untuk meringankan beban suami," katanya.

Pelajar lepasan Diploma Kesetiausahaan, Nur Alya Iwani Ibrahim, 22, memberitahu sepanjang enam bulan mencari rezeki sebagai penghantar makanan di Oda Malaysia, dia cuba elak bekerja pada sebelah malam untuk keselamatan.

Kata dia, penghantaran hanya dilakukan pada sebelah siang sahaja dan sering berkongsi lokasi terkini di dalam WhatsApp berkumpulan keluarga supaya mereka sentiasa tahu keberadaannya.

"Tipulah kalau kata tidak takut, kerana kami wanita, tunggang motosikal. Lokasi penghantaran kadang-kadang perlu lalui jalan sunyi, rumah tersorok malah pelanggan lelaki atau wanita kita tidak tahu macam mana orangnya.

"Selebihnya doa dan tawakal sahaja demi sesuap nasi. Bagi saya perlu untuk memaklumkan kepada ahli keluarga setiap lokasi yang dituju lebih-lebih jika rasa tidak sedap hati," katanya.

Terdahulu, media melaporkan seorang wanita yang juga peniaga makanan, Norshamira Zainal, 37 ditemui mati disyaki dibunuh di tepi Sungai Kuantan berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur di sini pada Khamis.

Mayat mangsa ditemui seorang lelaki sebelum penemuan itu dimaklumkan kepada pihak polis kira-kira jam 12.45 tengah hari.

Jenazah Norshamira dituntut keluarga kira-kira jam 2.30 petang sebelum dibawa ke Masjid Tengku Ampuan Afzan, Indera Mahkota untuk dimandikan sebelum dibawa pulang ke kampung halamannya di Felda Keratong 9, Rompin untuk dikebumikan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!