Sedar Norshamira tidak pulang jam 5 pagi lepas keluar COD makanan - Suami

KUANTAN - "Kali terakhir kami berhubung kira-kira jam 7 petang pada Rabu dan dia ada beritahu akan pulang lewat selepas keluar rumah untuk hantar makanan.
"Saya hanya sedari dia tidak pulang kira-kira jam 5 pagi hari berikutnya sebelum keluar mencarinya," kata Mohammad Afiq Akhmal Nudin, 31, suami Norshamira Zainal, 37, yang ditemui mati disyaki dibunuh di tepi Sungai Kuantan berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur di sini pada Khamis.

Mohammad Afiq Akhmal berkata, isterinya keluar rumah kira-kira jam 6 petang pada Rabu untuk menghantar sambal ikan bilis garing yang diusahakan sejak setahun lalu, namun tidak diberitahu lokasi penghantarannya.
Menurutnya, dia tidak syak apa-apa kerana memang sudah menjadi rutin isterinya keluar menghantar tempahan pelanggan.
"Selalunya bila saya sampai rumah di Sungai Soi dari tempat kerja di Indera Mahkota, dia pula akan keluar hantar tempahan dan pulang pada hari yang sama.
"Namun kali ini, saya bimbang dia tidak pulang seperti biasa lalu segera keluar mencari dibantu rakan-rakan," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini pada Jumaat.

Mohammad Afiq Akhmal berkata, berdasarkan penemuan kereta dipandu isterinya di lokasi berhampiran jambatan Tanjung Lumpur, dia dan rakan-rakan mencari mangsa di lokasi itu.
"Dengan bantuan rakan, isteri saya berjaya ditemui namun dalam keadaan sudah tidak bernyawa," katanya.

Menurutnya, jenazah isterinya itu akan dikebumikan di kampung halamannya di Felda Keratong 9, Rompin.
Sementara itu bapa mangsa, Zainal Rahim, 65, berkata, kali terakhir dia bertemu anaknya itu sewaktu bersama-sama menziarahi keluarga sakit di Melaka, 28 Januari lalu.
Zainal berkata, dia terkejut selepas dihubungi menantu tentang kehilangan Norshamira.

"Tak sangka perkara ini boleh berlaku dan satu kejutan bagi kami semua," katanya.
Menurutnya, anaknya itu seorang yang baik dan peramah.
"Hari-hari dia telefon bertanya khabar dan jika ada kesempatan dia akan pulang ke rumah di Keratong.
"Bila hendak balik dia akan hubungi beritahu kami," katanya.
Kejadian menimpa Norshamira turut mendapat perhatian Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang berkenan mencemar duli menziarahi keluarga mangsa di Unit Forensik HTAA pada Jumaat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!