Penjawat awam sambut baik, lebih masa beribadah ketika Ramadan

KUANTAN – Keputusan Kerajaan Pahang memendekkan waktu bekerja pada setiap Jumaat sepanjang Ramadan dilihat sebagai langkah prihatin terhadap kesejahteraan penjawat awam.
Rata-rata mereka ketika temui Sinar Harian berpendapat, perubahan ini membantu mengimbangi antara tanggungjawab kerja, ibadah dan masa bersama keluarga.
Penjawat awam, Fansurina Abdullah, 41, berkata, inisiatif ini sebagai satu nikmat besar buat mereka yang ingin memanfaatkan Ramadan sebaik mungkin.
Menurutnya, waktu kerja yang lebih singkat memberi ruang untuk menjalankan ibadah dengan lebih sempurna tanpa perlu tergesa-gesa.
“Kebenaran pulang awal terutama pada Jumaat sepanjang Ramadan sebenarnya memberi lebih banyak ruang kepada penjawat awam beribadah dan meluangkan masa bersama keluarga.
“Ini membolehkan kami membuat persiapan berbuka dengan lebih tenang selain menyusun jadual harian dengan lebih baik,” katanya.
Sementara itu, Nurfatihah Abd Ghaffar, 27, berkata, kepulangan awal setiap Jumaat sepanjang Ramadan memberinya peluang untuk pulang ke kampung dan menziarahi keluarga di Maran.
Menurutnya, sebelum ini kesibukan kerja sering membataskan peluang untuk pulang, namun kini dia dapat merancang perjalanan lebih baik.
“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dan gembira dengan kebenaran pulang awal setiap Jumaat pada bulan Ramadan,” katanya.
Bagi Fairus Mohd, 41, pula, Ramadan sering menjadi bulan yang sibuk bukan sahaja di pejabat tetapi juga di rumah.
Ujarnya, sebelum ini dia terpaksa berkejar pulang dalam keadaan penat, namun kini berpeluang berehat seketika sebelum memasak.
“Selalunya, balik kerja terus mandi, solat dan tak lama lepas itu sudah masuk waktu berbuka, memang tidak sempat nak buat apa-apa.
“Sekarang, boleh balik awal, ada masa nak rehat sikit, siapkan juadah, dan rasa lebih tenang,” tambahnya.
Dalam pada itu, Pegawai Tadbir Pelancongan Pahang, Azizi Alauddin, 37, turut bersyukur dan berterima kasih atas keprihatinan Sultan Pahang terhadap penjawat awam di negeri itu.
“Kemudahan ini memberi ruang dan peluang kepada kami untuk lebih masa bersama keluarga serta menunaikan ibadah yang sepatutnya dalam bulan Ramadan,” luahnya.
Penjawat awam, Muhammad Farizul Hafiz Awang, 35, menyambut baik keputusan tersebut dan berasa bersyukur atas keprihatinan Tuanku.
“Sudah pasti langkah ini amat dialu-alukan.
“Selain dapat lebih fokus menunaikan solat Jumaat, ia juga memberi lebih banyak masa untuk berbuka puasa bersama keluarga,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!