Waktu bekerja Jumaat sepanjang Ramadan sehingga jam 12.30 tengah hari - Sultan Pahang

KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menetapkan waktu bekerja bagi penjawat awam Negeri Pahang pada setiap hari Jumaat sepanjang bulan Ramadan berakhir lebih awal, iaitu pada jam 12.30 tengah hari.
Baginda bertitah, keputusan itu bertujuan memberi peluang kepada penjawat awam untuk meluangkan lebih masa bersama keluarga serta memuliakan hari Jumaat, penghulu segala hari, dalam suasana Ramadan yang penuh keberkatan.
Titah Baginda, keputusan ini turut dipersetujui dan diluluskan kerajaan negeri dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang bersidang pada 5 Februari lalu.
“Keputusan dan kemudahan yang diberikan ini untuk memberi peluang kepada penjawat-penjawat awam memanfaatkan lebih masa bersama keluarga di bulan Ramadhan disamping memuliakan hari Jumaat, penghulu segala hari.
“Saya berharap semua akan menunaikan sembahyang fardhu Jumaat. Jangan siapa-siapa ponteng pula,” titah Baginda seperti dilaporkan Pahang Media.
Baginda bertitah demikian ketika berkenan bercemar duli menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur kali ke-68 bertempat di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini pada Khamis.
Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah turut mengingatkan umat Islam agar menjadikan bulan Ramadan yang bakal tiba sebagai waktu dan medan terbaik untuk kembali kepada fitrah serta mengurangkan tumpuan kepada isi hal dunia.
“Saya juga tidak terlepas dalam menghidupkan pembacaan dan mentadabbur ayat suci al-Quran bersama-sama pegawai dan staf di Istana Abdulaziz.
“Sesungguhnya, al-Quran itu bukan sekadar dibaca tetapi difahami dan dihayati maknanya. IImu Al-Quran ini wajib dipelajari secara bertalaqi, sebagaimana Rasulullah SAW sendiri diajarkan oleh malaikat Jibril,” titah Baginda
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!