16 pekerja kilang warga Indonesia didenda, jel sebulan

KLANG – Seramai 16 pekerja kilang tekstil warga Indonesia didenda antara RM1,800 hingga RM3,500 dan dihukum penjara, antara satu hingga tiga bulan, oleh tiga Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat, kerana menggunakan kad pengenalan palsu, salinan kad pengenalan palsu dan milik orang lain.
Mereka dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah, masing-masing atas satu pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret-majistret Siti Zubaidah Mahat, Amirul Asyraf Abdul Rasid dan Nor Azilah Mat.
Bagi kesalahan menggunakan salinan kad pengenalan palsu, tiga tertuduh iaitu Fitriani, 22, Nuraida, 40 dan Rasdiana Tellong, 52, dihukum penjara selama satu bulan bermula tarikh tangkap iaitu Khamis.
Sementara kes menggunakan salinan kad pengenalan palsu, lapan daripada semua tertuduh itu didenda, masing-masing antara RM1,800 hingga RM3,500.
Mereka ialah Becce, 31, Nurazizah, 24, Dodi, 40, Rasmia, 34, Nasaruddin Kaco, 41, Ian Habibi, 25, Yuna, 31 dan Rusli, 37.
Mahkamah memerintahkan mereka dihukum penjara selama tiga hingga enam bulan jika gagal membayar denda terbabit.
Dua lagi tertuduh iaitu Rahmat Jamaluddin, 24 dan Kadir Marin, 55, didenda masing-masing RM3,500 atau penjara tiga bulan kerana memiliki kad pengenalan orang lain.
Bagi kes menggunakan salinan kad pengenalan milik orang lain, tertuduh, Asril, 24, didenda RM3,500 atau penjara tiga bulan sementara Novianti, 31, dipenjara satu bulan dari tarikh ditangkap iaitu Khamis.
Sementara seorang lagi tertuduh iaitu Juraida Rosli, 30, yang dituduh menggunakan kad pengenalan palsu, dihukum penjara selama tiga bulan dari tarikh ditangkap.
Semua tertuduh ini didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Taman Klang Jaya dan Taman Seri Andalas, pada 13 Februari lalu.
Mereka didakwa mengikut Peraturan 25 (1)(e) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) yang membawa hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-dua, jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan tiga Pegawai Pendakwa dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Selangor, Muhammad Amin Azman, Nurbaizura Zulkifli dan Mohd Saudi Yusof.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!