[VIDEO] 16 warga asing dicekup bekerja guna Mykad palsu
KLANG - Taktik 16 warga Indonesia menggunakan Mykad palsu dan kad pengenalan orang lain untuk bekerja di sebuah kilang peralatan tekstil terbongkar selepas mereka dicekup dalam operasi di sini pada Khamis.
Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Badrul Hisham Alias berkata, pihaknya menahan sembilan wanita dan tujuh lelaki Indonesia dalam operasi yang bermula jam 7 malam itu.
"Kita telah melakukan pemeriksaan terhadap 130 pekerja di kilang itu, daripada jumlah tersebut seramai 14 individu ditahan kerana semakan mendapati MyKad milik mereka adalah palsu manakala dua lagi suspek dipercayai menggunakan kad pengenalan orang lain.
"Selain itu, hasil pemeriksaan mendapati 53 pekerja adalah warganegara Myanmar dan mempunyai permit kerja yang sah, selebihnya adalah warga tempatan," katanya dalam sidang media di lokasi serbuan di sini, pada Khamis.

Badrul Hisham berkata, maklumat awal yang diperoleh, pekerja-pekerja warga asing itu mendapat kad pengenalan palsu daripada tiga ejen berbeza yang disyaki sebagai individu warga asing.
"Kebanyakan mereka yang ditahan itu berasal dari Sulawesi dan Medan, Indonesia. Kad pengenalan palsu ini diberikan tanpa sebarang bayaran setelah mereka masuk ke negara ini.
"Mereka turut dibantu oleh ejen untuk mendapatkan pekerjaan di Malaysia, namun, kita tidak dapat memastikan kesahihan maklumat ini sepenuhnya," ujarnya.
Beliau berkata, JPN sedang mengesan dalang utama serta lokasi pencetakan kad pengenalan palsu itu.

"Pekerja-pekerja warga asing itu mendakwa telah bekerja di Malaysia antara satu hingga dua setengah tahun tanpa dokumen yang sah.
"Sebilangan mereka mempunyai pasport Indonesia, tetapi mereka memasuki Malaysia melalui jalan yang tidak sah dan tanpa permit kerja," ujarnya.
Badrul Hisham mengingatkan majikan dan pemilik kilang supaya memastikan pekerja mereka mempamerkan MyKad secara fizikal bagi memastikan ketulenan dokumen berkenaan.
"Berdasarkan pemeriksaan, terdapat kes di mana pekerja hanya menunjukkan salinan kad pengenalan (fotostat) sebagai dokumen pengesahan. Ini menyukarkan majikan untuk mengenal pasti ketulenan dokumen tersebut," katanya.
Menurutnya, operasi itu melibatkan 35 kakitangan JPN dari Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya, serta 10 pegawai JIM Selangor.
"Kesemua individu terbabit ditahan bagi membantu siasatan mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
