Pekerja kilang wanita maut motosikal hilang kawalan rempuh tembok batu

ALOR GAJAH – Seorang pekerja kilang wanita maut selepas motosikal ditunggang hilang kawalan sebelum merempuh tembok batu berhampiran Kolej Vokasional Datuk Sri Mat Zin, Kampung Pengkalan di sini pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, kejadian kira-kira jam 12.45 pagi itu, menyebabkan mangsa Nur Erdiyanah Samsul Maarif, 27, meninggal dunia di tempat kejadian akibat pendarahan di kepala.
Menurutnya, ketika kejadian, wanita itu dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah dari arah Melaka Pindah menuju ke Jalan Kasa Height.
Katanya, siasatan awal mendapati sebaik tiba di lokasi nahas yang berselekoh, motosikal jenis Yamaha LC ditunggang mangsa dipercayai telah hilang kawalan lalu terbabas ke arah kanan jalan dan melanggar tembok batu.
"Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas kesihatan akibat kecederaan parah di kepala.
"Mayat mangsa telah dibawa ke Forensik Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat," katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.
Ujarnya, motosikal mangsa dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) untuk pemeriksaan lanjut.
"Siasatan lanjut masih diteruskan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya lagi.
Susulan itu beliau berkata, bantuan orang ramai yang melihat kejadian tersebut diperlukan bagi membantu siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

