SKMM, polis kenal pasti individu sebar berita palsu undian Majlis Raja-Raja

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengenal pasti sejumlah individu yang telah menularkan berita palsu berkaitan undian Majlis Raja-Raja.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, undian yang kononnya disebut 7-2 adalah hanya suatu 'mainan' oleh pihak tidak bertanggungjawab.
"Hal ini adalah satu mainan yang sejujurnya tidak ada sebarang undian dalam Majlis Raja-Raja baru-baru ini," katanya menerusi sidang media di sini pada Jumaat.
Ujar beliau, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim tidak berangkat menghadiri majlis berkenaan kerana gering.
"Dari gambar yang dimuat naik dalam Facebook rasmi Sultan Ibrahim mengenai Majlis Raja-Raja yang baru berlangsung, kita boleh lihat bahawa Tuanku sendiri tidak hadir.
"Bermaksud tidak ada sembilan undian. Maka untuk mana-mana pihak membuat satu berita palsu, menyatakan ada undian 7-2 bermaksud ada sembilan raja yang mengundi," jelasnya.
Sehubungan itu katanya, SKMM dan PDRM telah mengenal pasti individu menularkan berita palsu yang menyentuh 3R (agama, kaum dan raja) itu.
"Tindakan akan diambil terhadap mereka serta mana-mana pihak lain yang turut menularkan dan menyebarkan berita palsu ini," katanya.
Terdahulu tular tangkap layar kononnya berlaku undian dalam Majlis Raja-Raja untuk mengambil tindakan terhadap kerajaan PH-BN kerana ingkar melaksanakan Titah Adendum.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!