Enam individu disiasat muat naik kandungan palsu babit Agong, Majlis Raja-Raja

Salah seorang suspek diambil keterangan oleh pegawai MCMC dipercayai menyebarkan maklumat palsu mengenai mesyuarat Majlis Raja-Raja di Setapak, Kuala Lumpur.
Salah seorang suspek diambil keterangan oleh pegawai MCMC dipercayai menyebarkan maklumat palsu mengenai mesyuarat Majlis Raja-Raja di Setapak, Kuala Lumpur.
A
A
A

CYBERJAYA - Enam individu sedang disiasat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kerana dipercayai memuat naik kandungan palsu dan jelik berhubung Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim serta Majlis Raja-Raja di laman sosial Facebook.

Menurut kenyataan MCMC, operasi pemeriksaan dijalankan terhadap seorang suspek di Setapak, Kuala Lumpur dipercayai menyebarkan maklumat palsu mengenai mesyuarat Majlis Raja-Raja.

“Dalam operasi pada Selasa, satu unit telefon pintar dan kad SIM disita bagi membantu siasatan.

"Analisis forensik akan dilakukan untuk mendapatkan bukti berkaitan,” katanya.

Selain itu, seorang lagi suspek dijangka memberi keterangan pada 12 Februari kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurut kenyataan itu, operasi pemeriksaan terhadap suspek lain akan diteruskan sepanjang minggu ini di beberapa lokasi termasuk di Sungai Petani, Kedah; Kota Bharu, Kelantan; Kerian dan Teluk Intan di Perak.

“Dua notis dikeluarkan kepada dua individu untuk hadir memberi keterangan berkaitan kandungan dimuat naik di laman sosial Facebook,” katanya.

Terdahulu, MCMC memaklumkan bahawa siasatan menyeluruh akan dijalankan sebelum kes dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

Artikel Berkaitan:

Kes disiasat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman maksimum denda RM50,000 atau penjara satu tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, MCMC turut menasihatkan orang ramai tidak menyebarkan kandungan palsu atau tidak sahih yang boleh mencetuskan panik dan kegusaran dalam masyarakat.

“Orang ramai perlu sentiasa menyemak kesahihan sesuatu maklumat sebelum berkongsi. Gunakan platform dipercayai untuk mendapatkan berita tepat,” katanya.

Katanya, sebagai langkah pencegahan, pengguna boleh memanfaatkan chatbot AIFA yang tersedia di portal Sebenarnya.my dan aplikasi WhatsApp untuk menyemak berita tidak ditentusahkan.

“AIFA boleh diakses dalam empat bahasa iaitu Melayu, Inggeris, Mandarin dan Tamil serta beroperasi 24 jam,” jelas kenyataan itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!