Polis kenal pasti pemandu Ford Ranger langgar kereta

TELUK INTAN - Polis sedang mengesan pemandu pacuan empat roda jenis Ford Ranger yang disyaki melakukan khianat dengan melanggar sebuah kereta di Taman Manggis di sini, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, berdasar laporan diterima, lelaki berusia 30 tahun itu mendakwa telah diancam kenderaan terbabit ketika keluar dari rumahnya sekitar jam 11 pagi.
"Pengadu yang memandu kereta jenis Honda Civic mendakwa pemandu pacuan empat roda berkenaan dengan sengaja melanggar kenderaannya sebanyak dua kali dari arah depan.
"Pada pelanggaran kedua, suspek berjaya menghentikan kereta tersebut dan cuba keluar namun, mangsa bertindak gerak dari tempat kejadian untuk menyelamatkan diri serta membuat laporan polis di Ipoh," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.
Menurut beliau, kenderaan mangsa mengalami kerosakan di bahagian bumper, bonet dan pintu belakang di bahagian kiri.
"Siasatan awal mendapati kejadian itu dipercayai berpunca daripada satu insiden yang mana satu laporan polis diterima daripada lelaki berusia 71 tahun berikutan menerima ugutan menerusi helaian kertas yang disebar menggunakan dron pada 22 Oktober lalu.
"Ugutan itu juga rentetan daripada masalah perniagaan antara keluarganya dan suspek, lima tahun lalu," katanya.
Tambah Ahmad Adnan, pihaknya telah mengenal pasti suspek yang juga ahli perniagaan berusia 42 tahun itu dan tindakan segera akan diambil untuk siasatan lanjut.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 506 dan 427 Kanun Keseksaan iaitu bagi kesalahan ancaman jenayah dan merosakkan harta benda dengan niat.
"Siasatan turut dijalankan di bawah kesalahan trafik mengikut Rule10 Peraturan-Peraturan Polis (Prosedur Pendakwaan) 1959," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!