Bekas juruteknik pencawang ditahan, guna kemahiran untuk curi kabel

Ahmad Adnan (dua dari kiri) menunjukkan rampasan wayar tembaga dan kabel tembaga hasil penahanan seorang lelaki, Isnin lalu. - FOTO: SINAR HARIAN
Ahmad Adnan (dua dari kiri) menunjukkan rampasan wayar tembaga dan kabel tembaga hasil penahanan seorang lelaki, Isnin lalu. - FOTO: SINAR HARIAN
A
A
A

TELUK INTAN - Bekas juruteknik pencawang sebuah syarikat telekomunikasi ditahan polis selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan curi kabel di sekitar daerah Hilir Perak membabitkan kerugian lebih RM60,000.

Kegiatan lelaki berusia 35 tahun itu terbongkar selepas ditahan sepasukan polis yang melakukan rondaan Operasi Pencegahan Jenayah dan Op Lejang sekitar jam 2.30 petang pada Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, pemeriksaan ke atas kereta jenis Proton Gen-2 dipandu suspek menemui beberapa barangan berkaitan dengan aktiviti jenayah tersebut.

"Suspek gagal memberikan kenyataan yang meyakinkan terhadap semua barangan tersebut.

"Hasil soal siasat kemudiannya mendapati, suspek mengaku telah terlibat dalam enam kes kecurian kabel melibatkan pencawang telekomunikasi pelbagai rangkaian di sekitar Teluk Intan, Langkap dan Labu Kubong.

"Suspek turut menyimpan di telefon bimbit gambarnya berswafoto di hadapan setiap pencawang tersebut kononnya sebagai koleksi peribadi," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak di sini pada Jumaat.

Suspek mengaku telah terlibat dalam enam kes kecurian kabel melibatkan pencawang telekomunikasi pelbagai rangkaian di sekitar Teluk Intan, Langkap dan Labu Kubong.  - FOTO: SINAR HARIAN
Suspek mengaku telah terlibat dalam enam kes kecurian kabel melibatkan pencawang telekomunikasi pelbagai rangkaian di sekitar Teluk Intan, Langkap dan Labu Kubong. - FOTO: SINAR HARIAN

Antara yang dirampas dalam pemeriksaan itu ialah tiga beg plastik hitam dan satu guni berisi wayar tembaga, satu beg plastik hitam kabel tembaga berwarna hitam dan tembaga putih, satu batang besi alat pembuka mata grender, pisau boleh laras, alat pemotong wayar, testpen serta pelbagai barang yang dipercayai bagi kegunaan kegiatan mencuri kabel.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, suspek didapati melakukan semua kegiatan jenayah itu secara sendirian sejak Ogos lalu berbekalkan kemahiran dan pengalamannya sebagai juruteknik.

"Individu seperti ini cukup bahaya kerana mempunyai kemahiran tinggi dalam mengendalikan pencawang.

"Sekiranya tiada tangkapan dibuat, tidak mustahil jenayah sama dilakukan ke atas pencawang-pencawang lain," katanya.

Mengulas lanjut Ahmad Adnan berkata, semakan menunjukkan, suspek positif methamphetamin mempunyai rekod lampau berkaitan kecurian kabel di sekitar Lembah Klang dan penyalahgunaan dadah serta pernah menjalani hukuman penjara sebelum ini.

"Suspek telah direman selama tujuh hari bermula 11 Februari lalu bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

"Dengan tangkapan ini, polis berjaya menyelesaikan enam kes kecurian kabel di daerah ini," katanya.

Dalam kes berasingan, Ahmad Adnan berkata, polis telah memberkas seorang lelaki warga tempatan yang terlibat dalam kes ragut rantai leher milik seorang warga emas di sebuah rumah di Hoover Park di sini, Januari lalu yang videonya tular di media sosial.

Antara peralatan dan kelengkapan yang digunakan suspek semasa menjalankan kegiatan curi kabel.  - FOTO: SINAR HARIAN
Antara peralatan dan kelengkapan yang digunakan suspek semasa menjalankan kegiatan curi kabel. - FOTO: SINAR HARIAN

Menurutnya, lelaki berusia 40 tahun itu ditahan di tepi jalan dekat Sungai Manik sekitar jam 10 malam pada 5 Februari lalu.

Katanya, siasatan mendapati, suspek menyasarkan wanita warga emas di kawasan perumahan dan premis perniagaan dengan melakukan kegiatan itu pada sebelah pagi antara jam 5 hingga 8 pagi.

"Pada hari sama, suspek turut melakukan jenayah samun membabitkan seorang wanita di sebuah kedai makan di Kampung Banjar.

"Dalam kejadian itu, suspek melarikan rantai emas mangsa dianggarkan bernilai RM10,000 dan mengakibatkan mangsa cedera di leher akibat pergelutan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!