Tiga polisi kelestarian alam sekitar di Johor dipersetujui

JOHOR BAHRU - Sebanyak tiga polisi kelestarian alam sekitar dipersetujui dalam Mesyuarat Majlis Pembangunan Hijau Negeri Johor Bil.1/2025, pada Jumaat.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, beliau berharap agar inisiatif tersebut dapat dilaksanakan dengan segera demi mencapai visi hijau Johor 2030.
"Tiga polisi yang dipersetujui adalah Tenaga Boleh Baharu Johor 2030 dan Garis Panduan Perancangan dan Pembangunan Tenaga Boleh Baharu Johor yang memberi fokus kepada pemerkasaan tenaga solar sebagai sumber tenaga utama untuk masa depan lebih bersih.
"Kedua, Polisi Pengangkutan Hijau Negeri Johor dan Garis Panduan Perancangan dan Pembangunan Petak Pengecasan Kenderaan Elektrik (EVCB).
"Inisiatif ini akan memperkenalkan langkah untuk mobiliti hijau melalui penggunaan kenderaan elektrik dan pembangunan infrastruktur pengecasan yang lebih baik," katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Tambah Onn Hafiz, yang ketiga pula melibatkan Polisi Perubahan Iklim (Mitigasi Banjir) Johor 2030 dan Garis Panduan Sistem Amaran Awal Banjir.
Ujarnya, tindakan bersepadu dalam menghadapi cabaran perubahan iklim dan meningkatkan kesiapsiagaan banjir di negeri Johor.
"Kerjasama semua pihak amat penting, terutamanya pihak PBT (pihak berkuasa tempatan), pemaju, dan agensi-agensi kerajaan.
"Saya juga memohon agar status Gerak Kerja Jawatankuasa Kerja Majlis Pembangunan Hijau Negeri Johor dikemas kini supaya dapat bergerak seiring dan memastikan segala dasar yang dirancang serta penambahbaikan diperlukan dapat disegerakan dan dibentang dalam mesyuarat akan datang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!