Tiga daripada 4 ajaran sesat di Johor akan diwartakan tahun ini

JOHOR BAHRU – [DIKEMAS KINI] Kerajaan Negeri Johor telah memfatwakan sebanyak 22 ajaran agama Islam sebagai ajaran sesat di negeri berkenaan sejak 1994.
Exco Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, daripada jumlah tersebut sebanyak empat ajaran yang didapati menyeleweng dan terpesong belum diwartakan.
"Tiga lagi fatwa ajaran sesat bakal diwartakan tahun ini. Kerajaan Negeri Johor bertegas akan terus memberi komitmen dalam mengenal pasti dan menangani isu berkaitan ajaran sesat tanpa kompromi.
“Ini merupakan satu tanggungjawab dalam memastikan akidah umat Islam di Johor terpelihara dan keharmonian masyarakat terjaga.
“Penguatkuasaan menerusi enakmen dan tindakan perundangan akan terus dilaksanakan bagi mengekang sebarang usaha penyebaran dan pengamalan ajaran yang salah,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Tambah beliau, kerajaan negeri melalui Jabatan Mufti Johor akan menubuhkan pusat akademi ASWAJA yang berperanan sebagai tempat rujukan masyarakat bagi menyampaikan maklumat mengenai penyelewengan akidah.
Ujarnya, ia termasuk dengan pendedahan berkaitan ajaran tidak selari dengan pegangan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah aliran al-Asya'irah dan al-Maturidiyah.
“Sebanyak RM14 juta diperuntukan oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) bagi pembinaan pusat akademi ini yang terletak di mukim Pulai, Johor Bahru.
“Selain itu, kerajaan negeri juga memperuntukkan sebanyak RM400,000 bagi mewujudkan Pusat Pemulihan dan Rumah Pemurniaan Syariah Islam (permurnian akidah) di Jalan Dato’ Menteri, Johor Bahru,” katanya.
Jelas beliau, pusat pemulihan itu bukan sahaja diwujudkan untuk individu terpesong akidahnya tetapi juga menempatkan golongan yang mengamalkan hubungan sesama jantina atau LGBT agar kembali ke fitrah asal.
Tambahnya, kewujudan pusat pemulihan bagi golongan yang mengamalkan hubungan sesama jantina ini merupakan pertama kali diadakan di Malaysia dan ia mula beroperasi sepenuhnya pada Julai tahun lalu.
“Kerajaan negeri melalui MAINJ dan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menetapkan tafsiran hukum syarak umat Islam di Johor perlu mengikut ajaran berasaskan pegangan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah bersumberkan aliran al-Asya'irah dan al-Maturidiyah.
“Ini merupakan pendekatan proaktif bagi mengekang dan menangani ajaran sesat melalui pindaan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Johor Tahun 2014,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!