Bakat emas remaja disleksia dan ADHD

SHAH ALAM - Seorang ibu tidak menyangka anak perempuannya yang menghidap disleksia dan sindrom kurang daya tumpuan dan hiperaktif (ADHD) mampu melukis dengan baik walaupun tidak pernah mengikuti kursus atau kelas seni.
Menurut Norul Syahida Md Yusuf, 40, anaknya, Nur Marissa Hana Anuar, 17, mempunyai bakat semula jadi dalam menghasilkan lukisan doodle dan animasi menggunakan peranti tablet.
“Ini antara perkara yang membanggakan kami apatah lagi dia mampu lakukan sendiri tanpa tunjuk ajar atau bantuan daripada mana-mana pihak.
“Walaupun ada merancang untuk hantar dia ke kelas seni, tetapi dia tidak mahu, jadi kami tidak memaksa. Cuma sekarang memang dia banyak belajar sendiri dan akan terus melukis melalui apa yang dia lihat,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Sebelum ini, tular di TikTok beberapa video memaparkan seorang gadis menghasilkan karya kreatif berbentuk lukisan doodle dan watak animasi atau kartun menggunakan tablet dengan pantas.
Difahamkan, gadis berkenaan menghidap disleksia dan ADHD namun mampu membuktikan kebolehan dirinya melalui penghasilan lukisan sehingga turut menjual kepada orang ramai yang berminat.
Tambah suri rumah itu, lukisan dihasilkan Marissa berjaya menarik minat beberapa pengikut akaun TikToknya dan ada yang membelinya.
“Memang ada lukisan Marissa dijual tetapi tidaklah secara serius kerana perlu ikut ‘mood’ dia.. sebagai anak istimewa kita tidak boleh jangka emosinya.
“Saya dan suami sebagai ibu bapa hanya mampu menyokong minat dia dengan membelikan kertas lukisan serta tablet untuk dia mengekspresikan bakatnya,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Syahida memberitahu, pada awalnya dia turut keliru dengan perkembangan pendidikan anaknya yang dilihat tidak sama seperti rakan-rakan seusia.
Disebabkan itu, katanya, dia terus bertindak merujuk kepada guru dan doktor pakar untuk mendapatkan pengesahan bahawa anaknya menghidap disleksia dan ADHD.
“Alhamdulillah, walaupun ada sedikit kekurangan tetapi Marissa boleh meraih anugerah kecemerlangan aliran Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di sekolahnya.
“Saya juga mendapat banyak mesej daripada ibu bapa yang mempunyai anak sama seperti saya, meminta tip bagaimana membentuk perkembangan anak-anak istimewa.
“Apa yang boleh saya katakan, ia bermula dari rumah, sebagai ibu bapa, kita kena faham dan berikan perhatian lebih supaya lebih cakna dengan perkembangan mereka,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!