Bimbang asteroid hentam bumi, China tubuh pasukan pertahanan planet

BEIJING - China mula mengumpulkan pasukan pertahanan planet untuk menangkis ancaman asteroid yang diramalkan berpotensi melanggar bumi kira-kira tujuh tahun lagi.
Pada Jumaat lalu, Agensi Angkasa Eropah (ESA) menerusi kemas kini mereka menyatakan tentang kemungkinan Asteroid 2024 YR4 merempuh bumi pada Disember 2032, sekali gus meletakkannya dalam senarai risiko utama.
Objek angkasa gergasi dianggarkan berukuran 40 meter (m) x 90m lebar seperti saiz padang bola sepak itu ditemui Institut Astronomi Universiti Hawaii pada akhir Disember lalu.
Penemuan menggemparkan itu telah mengaktifkan mekanisme tindak balas global atas kebimbangan impaknya kepada bumi.
Beberapa minggu selepas ia dijumpai, pusat projek khas di Pentadbiran Sains, Teknologi dan Industri Negeri China untuk Pertahanan Negara menyiarkan notis pengambilan yang menyenaraikan tiga peranan tersedia untuk jawatan pertahanan planet.
Pusat yang bertanggungjawab untuk pelaksanaan dan penyelidikan kejuruteraan aeroangkasa serta pemerhatian bumi sedang cuba merekrut graduan untuk menghasilkan kaedah amaran awal.
Terdapat pelbagai kaedah yang boleh digunapakai untuk menghalang asteroid melanggar bumi.
Menerusi ujian pertahanan planet pertama pada 2022, Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik Kebangsaan (NASA) berjaya mengubah trajektori objek pemusnah angkasa lepas itu dengan merempuhnya.

Penyelidik di Pusat Sains Angkasa Kebangsaan Akademi Sains China, Li Mingtao menerusi wawancara bersama China Science Daily pada Isnin memaklumkan Beijing telah membuat kemajuan memberangsangkan dalam program pertahanan asteroid.
“Pada masa akan datang, kita bukan hanya perlu mengukuhkan konfigurasi dan prestasi peralatan secara menyeluruh, tetapi juga memupuk pasukan bakat yang berdedikasi bagi pertahanan asteroid serta menyumbang kebijaksanaan dan kekuatan China untuk melindungi keselamatan bumi,” jelasnya.
Pada September 2024, Beijing melancarkan pelan konseptual untuk misi pertama melindungi bumi daripada ancaman asteroid.
Di bawah rancangan itu, objek gergasi angkasa lepas itu akan dirempuh dengan kapal angkasa bagi mengubah laluannya pada 2030.
Impak bahaya?
China juga menjadi sebahagian daripada dua badan antarabangsa, Rangkaian Amaran Asteroid Antarabangsa (IAWN) dan Kumpulan Penasihat Perancangan Misi Angkasa Lepas (SMPAG) yang menyelaraskan perkongsian maklumat serta tindak balas terhadap ancaman objek angkasa lepas.
Asteroid 2024 YR4 dikatakan berupaya mengakibatkan kemusnahan setempat apabila ia berlanggar dengan bumi.
Menurut Mingtao, asteroid itu berkemungkinan jatuh ke dalam laut atau hancur apabila ia memasuki atmosfera bumi atau menghasilkan gelombang kejutan dan radiasi jika menghentam bumi serta boleh membinasakan sesebuah bandar (city killer).
Berdasarkan memo IAWN, lokasi berisiko termasuk timur Lautan Pasifik, utara Amerika Selatan, Lautan Atlantik, Afrika, Laut Arab dan Asia Selatan.
Pada 2013, sebuah asteroid berukuran selebar 20m jatuh di Chelyabinsk, Rusia dengan impak letupan bersamaan 30 bom atom dan memusnahkan kira-kira 300 rumah serta seramai 1,500 orang cedera.

“Jika Asteroid 2024 YR4 menghentam kawasan bandar, ia berisiko mencederakan puluhan ribu penduduk,” ujar Mingtao lagi.
ESA menganggarkan impak asteroid itu adalah pada kadar 2.1 peratus dan kebarangkaliannya boleh terus berubah dan menjadi sifar selepas lebih banyak data diperoleh.
“Meskipun orang ramai mula memfokuskan asteroid itu, saintis tidak melihatnya sebagai satu ancaman yang serius. Kami akan mendapatkan lebih banyak data menjelang akhir tempoh pemerhatian pada April depan.
“Kami dapat membuat kebarangkalian dengan lebih jelas apabila jendela pemerhatian baharu tiba pada 2028.
“Pada masa itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dijangka mengadakan satu lagi perbincangan bagi memutuskan sama ada akan merangka pelan pertahanan seterusnya,” katanya lagi ketika cuba meredakan kebimbangan banyak pihak. - Agensi
Info
>Senario serupa pernah berlaku pada 2004 melibatkan asteroid digelar 99942 Apophis yang diramalkan berpotensi menghentam bumi pada April 2029 dengan kadar 2.7 peratus. Pemerhatian lanjut bagaimanapun menolak ancaman itu.
>Impak asteroid paling dahsyat berlaku 66 juta tahun lalu, apabila batu angkasa lepas selebar kira-kira 10 kilometer mencetuskan musim sejuk global dan menghapuskan dinosaur serta 75 peratus spesies di bumi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!