Op Sky: Tiada istilah ikut ‘pintu belakang’, kata Jalaluddin Hassan

AKTOR veteran, Datuk Jalaluddin Hassan mendedahkan menerima layan yang baik semasa memberi keterangan sebagai saksi Op Sky di Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) pada 6 Februari lalu.
Menurut figuran berusia 71 tahun itu, tidak ada istilah ‘pintu belakang’ seperti yang didendangkan sebelum ini, namun beliau bersama-sama Angkasawan Negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar dan penyanyi, Ziana Zain hanya mengikut arahan yang diberikan oleh pegawai bertugas.
“Saya di sana atas jemputan SPRM sebagai saksi. Tiada istilah ikut ‘pintu belakang’. Kami diarah untuk tunggu dalam kereta dan selepas itu kami diiringi oleh pegawai SPRM
“Kita datang rumah orang, jadi kita ikut arahan orang. Saya pun hanya datang sebagai saksi dan beri kerjasama kepada mereka. Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar,” ujarnya yang ditemui pada majlis Tayangan Perdana Ramadan Astro 2025 di The Ground, Petaling Jaya pada petang Khamis.
Ditanya adakah beliau akan lebih berhati-hati dalam menerima tawaran selepas ini, bintang Pulang itu berkata, beliau sudah mengambil langkah berhati-hati sebelum ini.
Malah tawaran sebagai duta syarikat perunding kewangan tersebut diterima melalui orang tengah. Namun, tidak disangka syarikat berkenaan terlibat dalam kes rasuah dan diserbu oleh SPRM.
“Saya sudah berhati-hati dan ada bertanya tentang fungsi dan apa tanggungjawab saya. Dalam fikiran saya tertanya-tanya juga adakah perkara ini semakin serius selepas serbuan.
“Bagaimanapun mereka kata jangan risau sebab saya tidak terlibat apa-apa. Saya sendiri tidak tahu transaksi syarikat mereka. Tugas saya hanya diminta untuk promosi saja dan segala bahan untuk dimuat naik dibekalkan syarikat mereka.
“Saya pun tidak mahu cakap lebih sebab kes masih dalam siasatan,” jelas Jalaluddin.
Difahamkan ketiga-tiga selebriti terbabit menerima bayaran sehingga RM400,000 sebagai duta promosi daripada syarikat perunding kewangan tersebut.
Januari lalu, SPRM menerusi Op Sky berjaya menumpaskan kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan syarikat perunding kewangan serta pegawai bank di beberapa institusi kewangan.
Ia hasil penahanan 12 individu dalam serbuan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) di 24 lokasi menerusi Op Sky, meliputi rumah kediaman dan pejabat di sekitar Lembah Klang.
Dalam operasi itu, sebanyak 98 akaun syarikat dan individu bernilai lebih RM22 juta dibekukan SPRM berhubung sindiket pengubahan wang haram didalangi syarikat perunding kewangan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!