Kedah buru pemilik jeti haram

Sanusi (tengah, barisan depan) bersama pegawai daerah sempena majlis amanat tahun 2025 Menteri Besar Kedah kepada pentadbiran tanah negeri pada Khamis.
Sanusi (tengah, barisan depan) bersama pegawai daerah sempena majlis amanat tahun 2025 Menteri Besar Kedah kepada pentadbiran tanah negeri pada Khamis.
A
A
A

ALOR SETAR - Pemilik yang membina jeti haram di muara sungai dan laut akan diburu menerusi proses pemutihan jeti yang beroperasi secara tidak sah di negeri ini.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, terdapat 759 jeti haram yang dikenal pasti dan tindakan penguatkuasaan ke atas jeti-jeti tersebut akan dilakukan termasuk dirobohkan.

Menurutnya, sekiranya pemilik enggan tapak berkenaan dimusnahkan, mereka diminta memohon lesen pendudukan sementara (LPS) dengan segera.

“Pemilik jeti yang ingin mohon LPS boleh berbuat demikian untuk mengelakkan dikenakan tindakan meroboh.

“Jika tidak mempunyai LPS dan tidak membuat sebarang permohonan boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (KTN),” katanya pada sidang akhbar sempena majlis amanat tahun 2025 Menteri Besar Kedah kepada pentadbiran tanah negeri di sini pada Khamis.

Sanusi berkata, antara lokasi yang memiliki jeti haram ialah di Sungai Merbok, Sungai Kedah, Sungai Anak Bukit dan Langkawi.

“Bina ikut suka ditebangnya bakau, hutan, tepi sungai buat jeti. Mulai sekarang kita akan buat pemutihan jadi mohonlah LPS. Kalau kita menyusuri sungai, memang banyak jeti haram untuk tambat bot.

“Ada juga jeti persendirian yang dibina untuk laluan dia sahaja. Ia boleh mendatangkan hasil kepada negeri melalui kutipan LPS, jadi selepas ini bayarlah jika mahu jeti itu dikekalkan,” katanya.

Menurutnya lagi, penekanan juga diberikan kepada permit melanggar syarat kategori tanah yang menyebabkan kerajaan negeri mengalami kekurangan kutipan hasil akibat cukai dibayar tidak selaras dengan syarat tanah dan cukai dikenakan.

Artikel Berkaitan:

“Mana-mana pihak yang melanggar syarat ini boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan di bawah seksyen 127 hingga seksyen 129 KTN seterusnya boleh dilucut hak.

“Pada tahun lepas hingga Disember tahun ini, permohonan permit langgar kategori/syarat tidak dikenakan denda namun pada Januari tahun depan, setiap permohonan permit perlanggaran syarat atau kategori tanah ini akan dikenakan denda.

“Tanah itu kategori lain dia buat aktiviti lain. Contohnya tanah berstatus pertanian tetapi dia buat komersial, jadi melanggar syarat,” katanya.

Mengulas mengenai kes kecurian unsur nadir bumi (REE) yang sebelum ini pernah dilakukan oleh pihak tertentu, Sanusi tegaskan, kes berkenaan tidak berulang dan diharap semua pihak mematuhi peraturan ditetapkan.

“Kes curi REE pernah berlaku pada masa lalu, saya harap pada masa ini tidak berulang lagi. Kita telah ambil tindakan berdasarkan undang-undang,” katanya.

Menurutnya, secara umum kejadian mencuri hasil bumi masih berlaku namun membabitkan kecurian bahan batuan, pasir, tanah merah dan kayu-kayan.

“Kecurian yang berjaya ditangkap tak ada cuma kejadian seperti itu sentiasa ada. Kita tahu dan akan tambah penguat kuasa untuk pantau semua.

“Lebih baik jangan mencuri, buat kerja ikut prosedur dan bayar cukai yang sewajarnya,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!