Wanita mengaku tidak bersalah sedia klinik pergigian tidak sah

Tertuduh keluar dari kamar mahkamah selepas dihadapkan di Mahkamah Sesyen Temerloh pada Khamis.
Tertuduh keluar dari kamar mahkamah selepas dihadapkan di Mahkamah Sesyen Temerloh pada Khamis.
A
A
A

TEMERLOH - Seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas tuduhan menyediakan klinik pergigian swasta yang tidak didaftarkan tahun lalu.

Tertuduh, Intan Nazirah Rofi, 22, membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Jamaluddin Mat.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa menyediakan perkhidmatan klinik gigi swasta tanpa didaftarkan di bawah Seksyen 27, Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) di bilik hotel dekat Jerantut kira-kira jam 9.15 malam pada 14 Jun 2024.

Oleh itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 4 (1) Akta 586 dan boleh dihukum di bawah peruntukan Seksyen 5 (1) (a) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak lebih RM300,000 atau dipenjarakan tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan yang dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Haznita Zainal Abidin menawarkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh yang sedang mengandung tiga bulan merayu jaminan dikurangkan kerana tidak bekerja dan suaminya tidak memiliki pendapatan tetap.

Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh dijamin sebanyak RM1,000 dan seorang penjamin serta menetapkan 17 April depan untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!