Abdul Gafar dilantik Datuk Bandar Alor Setar baharu

ALOR SETAR - Bekas Pegawai Daerah Kuala Muda, Datuk Abdul Gafar Yahya dilantik sebagai Datuk Bandar Alor Setar yang kelapan berkuat kuasa Ahad.
Abdul Gafar, 54, menggantikan Datuk Mohd Yusri Md Daud yang bersara wajib pada 30 Januari lalu.
Beliau mengangkat sumpah di hadapan barisan ahli majlis, pengarah-pengarah jabatan dan ketua-ketua bahagian Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) serta jemputan khas yang hadir pada majlis tersebut.

Abdul Gafar berkata, beliau berterima kasih kepada kepimpinan kerajaan negeri atas pemilihan dan pelantikannya ke jawatan tersebut.
“Saya berasa bangga dan cukup bertuah untuk menerima jawatan di MBAS yang juga penerima anugerah lima bintang bagi Sistem Penarafan Bintang PBT, Anugerah Bandar Mampan, Anugerah Penerima Asean Standards Clean Tourist City 2024-2026 dan banyak lagi.
“Saya telah bersedia untuk berkhidmat dan menggembleng tenaga bagi memastikan segala keperluan penduduk di daerah ini dapat dipenuhi dan dijaga dengan baik,“ katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelantikan Datuk Bandar Alor Setar di Dewan Mesyuarat UTC pada Ahad.
Abdul Gafar berkata, sebagai Datuk Bandar baharu beliau akan memfokuskan kepada tiga perkara iaitu adaptasi, kolaborasi dan inovasi untuk kemajuan Bandaraya Alor Setar.
“Saya akan cuba menyesuaikan dengan semua lapisan masyarakat, dan berkolaborasi. Jadi MBAS sebagai pihak berkuasa tempatan, selain daripada kita melaksanakan apa yang ada dalam akta, penguatkuasaan, undang-undang kecil tapi sebenarnya 'stakeholders' kita adalah penduduk dalam bandar raya ini,” katanya.
Jelas Abdul Gafar, pihaknya akan turun padang dengan lebih kerap untuk memastikan semua masalah seperti banjir kilat, kemudahan awam dan kebersihan dapat diatasi.
"Bagi memenuhi harapan dan keperluan rakyat di daerah ini, ia memerlukan perbelanjaan yang besar dan sumber hasil kewangan yang kukuh.
“Saya memberi jaminan bahawa setiap hasil yang diperolehi daripada hasil cukai akan dikembalikan kepada mereka dalam bentuk memenuhi keperluan yang diharapkan penduduk Alor Setar,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!