[VIDEO] WhatsApp tak berbalas, rupanya adik maut bersama tiga bekas murid
JEMPOL - Rasa pelik selepas pesanan WhatsApp yang dihantar kepada adiknya tidak berbalas terjawab, selepas menerima panggilan telefon memaklumkan terlibat dalam kemalangan maut di Kilometer 6 Jalan Bahau-Rompin di sini malam Rabu.
Ketika kejadian jam 9.05 malam itu, Allahyarham, Mohd Najmuddin Shapie, 31, memandu kereta Perodua Axia bersama tiga bekas anak muridnya dalam perjalanan ke pekan Bahau untuk makan malam.
Paling menyayat hati kesemua bekas muridnya iaitu Haziq Hakimi Mahindra, 19, dan dua beradik iaitu Muhammad Danish Iskandar Muhammad Faidzul, 18, Muhammad Adi Putra Muhammad Faidzul, 16, turut maut dalam kemalangan terbabit.
Menurut kakak Allahyarham, Nurfatin Farhanah Shapie, 35, sebelum kejadian itu, dia menghantar pesanan kepada Allahyarham untuk memintanya membeli petrol.

"Sebelum itu arwah datang ke rumah untuk pinjam kereta dan beritahu nak keluar dengan anak muridnya pergi makan selepas Maghrib.
"Lebih kurang jam 9 malam itu saya mesej dia minta tolong belikan petrol, tapi peliknya dia tak balas dan saya fikir mungkin bateri telefon bimbitnya mati," katanya ditemui di Unit Forensik Hospital Jempol di sini pada Khamis.
Bagaimanapun katanya, kira-kira jam 10 lebih, adik perempuannya telefon beritahu yang Allahyarham meninggal dunia terlibat kemalangan.
Ujarnya, dia kemudiannya bergegas ke hospital untuk mendapatkan kepastian, namun ketika dalam perjalanan, dihubungi pegawai penyiasat memaklumkan kejadian berlaku.
"Perasaan saya bercampur baur ketika itu kerana ia sangat mengejutkan kerana kami baharu saja berjumpa.
"Emak dan ayahlah paling sedih kerana arwah adalah anak harapan keluarga dan selalu cakap yang arwahlah anak yang boleh bawa mereka ke syurga," katanya.

Tambahnya, Allahyarham disifatkan sebagai orang yang mudah mesra dan disebabkan itulah dia rapat dengan bekas anak muridnya.
Kata Nurfatin Farhanah, Allahyarham sebelum ini pernah menjadi guru sandaran dan kini merupakan imam Surau Darul Hijrah Ladang FGVPM Palong 18.
"Dia biasa keluar dengan bekas anak muridnya dan semalam (Rabu) dia bawa mereka keluar untuk makan dan gunting rambut memandangkan Isnin depan sudah mula sekolah.
"Saya mengajar di Pusat Dalam Komuniti (PDK) dan anak-anak murid saya pun baik dengan arwah," katanya.
Selain itu katanya, arwah yang merupakan anak keenam dari tujuh beradik tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda pelik, tetapi Disember tahun lalu beria-beria mahu mengadakan majlis kenduri.
Pada waktu itu kata, Nurfatin Farhanah, mereka adik-beradik sedikit berbalah kerana kurang bersetuju dengan permintaan Allahyarham.
"Bila fikir balik, rasa ralat pula kerana waktu itu kami kurang setuju. Tapi Alhamdulillah kami akhirnya buat juga dan arwah beli lapan kilogram daging untuk dijamu kepada keluarga dan tetamu," katanya.
Sebelum ini media melaporkan, kemalangan berlaku membabitkan kenderaan Perodua Axia, Toyota Mark X dan sebuah pacuan empat roda(4x4) jenis Ford Ranger.

Namun sejurus tiba di lokasi, tiba-tiba datang Toyota Mark X dipandu lelaki berusia 51 tahun telah masuk ke laluan bertentangan dan terus bertembung secara berhadapan sehingga menyebabkan Perodua Axia berpusing.
Kemudian datang sebuah 4x4 dipandu lelaki berusia 43 tahun dari arah belakang telah terlanggar bahagian hadapan sebelah kanan Perodua Axia tersebut.
Kejadian itu mengakibatkan pemandu Perodua Axia bersama dua penumpang berusia 18 dan 19 tahun serta pemandu Toyota Marx X cedera parah pada bahagian kepala serta kaki dan disahkan meninggal dunia di lokasi.
Penumpang belakang Perodua Axia berusia 16 tahun disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Kuala Pilah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

