Pembonceng motosikal maut nahas tiga kenderaan

Sebuah motosikal remuk dalam kemalangan di KM 4.3 Jalan Jeli-Dabong pada Rabu.
Sebuah motosikal remuk dalam kemalangan di KM 4.3 Jalan Jeli-Dabong pada Rabu.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang pembonceng motosikal maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan termasuk sebuah treler pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Jeli, Superintenden Saari Yaacob berkata, kemalangan berlaku di Kilometer (KM) 4.3 Jalan Jeli-Dabong kira-kira jam 11 malam.

Beliau berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila pemandu sebuah kereta memberi isyarat lampu untuk membelok ke arah kanan jalan utama.

"Pemandu treler yang berada di belakang kereta kemudian memperlahankan kenderaannya selepas menyedari isyarat kereta berkenaan," katanya melalui kenyataan pada Khamis.

Bagaimanapun kata beliau, secara tiba-tiba motosikal yang datang dari arah belakang treler kemudian cuba memotong kenderaan berat itu dan pada masa sama mahu mengelak daripada terlanggar kereta yang sedang membelok.

Tambahnya lagi, penunggang motosikal kemudiannya cuba memasuki semula laluannya, namun terlanggar sisi kanan treler menyebabkan terjatuh.

"Akibat kemalangan itu lelaki yang membonceng motosikal terbabit maut di lokasi kejadian manakala penunggang cedera dan dihantar ke Hospital Jeli untuk mendapatkan rawatan," katanya.

Saari memberitahu, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara tidak cermat.

Orang ramai yang melihat kejadian boleh menyalurkan maklumat dengan menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Daerah Jeli di talian 099440222 atau pengawai penyiasat melalui nombor telefon 0175578763.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!