Projek PPAM Bandar Tun Razak didakwa beri kesan buruk kepada penduduk

Shamsul (dua dari kanan) dan Mohamad Nazarallah (tiga dari kiri) menunjukkan kawasan yang akan dibangunkan dengan projek PPAM
Shamsul (dua dari kanan) dan Mohamad Nazarallah (tiga dari kiri) menunjukkan kawasan yang akan dibangunkan dengan projek PPAM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kira-kira lima persatuan penduduk membantah cadangan pembangunan projek Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) di Lot 481446 di Bandar Tun Razak di ibu negara di sini.

Tegas Pengerusi Persatuan Penduduk Apartmen Desa Bangsawan, Shamsul Bahari Omar, tiada keperluan untuk mewujudkan projek perumahan baharu yang akan memberikan kesan buruk kepada penduduk di masa depan.

Bagaimanapun, Shamsul memberitahu, penduduk di kawasan sekitar tidak menolak pembangunan sekiranya projek dilaksanakan itu dapat memberi manfaat kepada mereka seperti pusat atau kompleks kesihatan yang lengkap.

Kawasan menghijau yang didakwa akan dibangunkan dengan projek PPAM
Kawasan menghijau yang didakwa akan dibangunkan dengan projek PPAM

"Pembinaan PPAM dibantah kerana ia menyumbang kepada isu kesesakan apabila pertambahan kenderaan berlaku mendadak serta masalah sosial dikhuatiri juga akan meningkat kerana kepadatan penduduk yang tinggi.

"Projek berkenaan juga dijangka akan mengancam keselamatan penduduk apabila kerja-kerja menanam cerucuk dimulakan kerana lokasi projek itu terletak di atas bukit selain ia turut menjejaskan kualiti udara," ujarnya ketika ditemui Sinar Harian.

Perjumpaan itu turut dihadiri, Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Mulia Fasa 1, Mohamad Nazarallah Mohd Nasir, penasihat persatuan itu, Syed Agil Syed Jaafar dan dua ahli Jawatankuasa Persatuan Penduduk Apartmen Desa Bangsawan, Latifah Mohd Naim serta Rohani Mohamad.

Lima persatuan yang membantah cadangan projek ini adalah Persatuan Penduduk Apartmen Desa Bangsawan, Persatuan Penduduk Taman Mulia Fasa 1 dan Fasa 2, Persatuan Penduduk Taman Bandaraya Damai dan Badan Kebajikan Penduduk Jalan Makmur.

Artikel Berkaitan:

Persatuan terbabit juga bergabung dengan menubuhkan Jawatankuasa Bertindak Bantahan Projek Pembangunan Bangunan Berkepadatan Tinggi di Tapak Lot 481446 yang dipengerusikan Shamsul Bahari.

Sementara itu, Mohd Nazarallah pula berkata, bantahan sudah bermula sejak 2018 dan surat bantahan telah pun dikemukakan kepada banyak pihak sepanjang tempoh 2018 sehingga 2020.

Jelasnya, surat bantahan dikemukakan semula kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur pada 23 September 2024 diikuti dengan beberapa surat susulan memohon pertemuan, namun belum menerima sebarang maklum balas.

"Setakat ini respon hanya diterima daripada Pejabat Ahli Parlimen Bandar Tun Razak dan dua mesyuarat telah diadakan di pejabat Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin di Menara DBKL 1.

"Turut hadir adalah pegawai-pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) daripada jabatan-jabatan yang berkenaan serta wakil Tetuan Rimbun Purnama Sdn. Bhd (pemaju projek Pembangunan di Lot 481446)," ujarnya.

Beliau menambah, oleh kerana Perintah Pembangunan telah dikeluarkan pada 19 Jun 2024, mesyuarat tersebut lebih kepada mencari penyelesaian terhadap isu parkir kenderaan, lambakan kenderaan yang akan diparkir di bahu-bahu jalan serta isu kesesakan yang akan berlaku di Jalan 27/117A.

"Belum ada apa-apa keputusan dicapai tentang perkara ini kerana terkongkong dengan keadaan Jalan 27/117A yang terhad yang juga merupakan jalan mati dan tiada jalan alternatif boleh diadakan kerana keadaan kawasan bercerun serta terhad.

"Cadangan untuk menambah dua tingkat lagi untuk parkir dalam anggaran 200 petak untuk kemudahan penduduk PPAM perlu mendapat kebenaran Datuk Bandar Kuala Lumpur kerana melibatkan dua tingkat tambahan," ujarnya.

Bagaimanapun, dalam isu utama yang diketengahkan ujarnya, jawatankuasa bertindak itu masih belum mendapat respon serta perhatian daripada mana-mana pihak yang berkuasa walaupun sudah banyak surat bantahan dan aduan dibuat tentang perkara itu.

"Kami hanya penduduk dan pemilik rumah di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur yang akan terkesan dengan projek pembangunan yang akan dilaksanakan ini.

"Suara kami tidak didengari. Dalam usaha kerajaan untuk menyediakan rumah yang berkemampuan untuk dimiliki penjawat awam di kawasan tersebut, mereka terlepas pandang tentang keselesaan dan kemudahan yang dikecapi oleh pemilik-pemilik rumah sedia ada di kawasan yang tersebut yang akan dinafikan," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!