Pindaan Enakmen Jenayah Syariah: Jawatankuasa masih bincang, elak ulangi kelemahan

KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Jawatankuasa induk dan jawatankuasa teknikal yang dibentuk berhubung Pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 masih lagi bersidang sebelum dijangka dibentangkan pada Julai depan.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, kerajaan negeri merancang membentangkan pindaan itu pada sesi Persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan April depan.
"Jika diluluskan kita akan bentangkan kepada Tuanku Sultan (Sultan Muhammad V)," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Mahabbah Kepimpinan Kerajaan Negeri bersama Media Kelantan 2025 pada Rabu.
Bagaimanapun beliau menolak kemungkinan dapat dibentangkan pada Februari kerana ada beberapa perkara yang perlu ditambah baik.
"Itu tugas jawatankuasa teknikal dan masih belum dapat dibentangkan dalam masa terdekat ini.
"Kita tidak mahu mengulangi kelemahan yang ada sehingga ada individu yang boleh mencabar enakmen itu semula. Kita perlu atasi masalah itu," katanya lagi.
Pada Mac tahun lalu, DUN Kelantan meluluskan usul menggubal semula 16 kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 yang diisytiharkan batal dan tidak sah oleh Mahkamah Persekutuan pada 9 Februari tahun lalu.
Sebelum ini, panel sembilan hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, dalam keputusan majoriti 8-1 membuat keputusan membatalkan enakmen terbabit selepas membenarkan petisyen peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid, dan anaknya, Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman.
Media sebelum ini turut melaporkan kerajaan negeri mengadakan satu konvensyen bagi memperoleh input bertujuan meneliti semula enakmen yang terbatal dan cara menjadikan enakmen itu sesuai dengan kerangka Perlembagaan serta undang-undang di negara ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!