Kelantan bentang penggubalan semula 16 seksyen Enakmen Syariah Julai ini

KOTA BHARU - Pembentangan penggubalan semula 16 seksyen Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 dijangka akan dapat dilaksanakan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu pada sesi Julai ini.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, pihaknya melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan bersetuju menetapkan perkara itu dan mengikut kesesuaian jadual persidangan DUN negeri berkenaan.
“Draf kerja pertama pindaan enakmen kini sedang diusahakan oleh Jawatankuasa Teknikal Pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 dan sudah dipersetujui siap pada penghujung bulan depan.
“Untuk pembentangan pada Februari itu mungkin tak sempat dan melihat jadual DUN, kita jangka akan dapat dibentangkan pada Julai,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Kelantanku Bersih tahun 2024 di Dewan Tok Guru Dato’ Bentara Setia Kompleks Kota Darul Naim di sini pada Ahad.

Turut disampaikan Anugerah Khas Anak Muda Kelantan kepada Nik Ahmad Kasyfi Nik Zamani yang menjalankan usaha-usaha menjaga kebersihan dan mengutip sampah di kawasan pantai tumpuan di Kelantan sambil memakai baju Kimono, Jepun sebagai simbolik negara contoh bersih.
Dr Mohamed Fadzli yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 berkata, kerajaan negeri menetapkan pindaan enakmen tersebut akan melengkapi semua aspek agar tidak boleh lagi digugat mana-mana pihak.
Beliau berkata, satu konvensyen berkaitan diadakan di Balai Islam Lundang baru-baru ini juga memberikan banyak input dan kaedah yang membolehkan kesemua seksyen terbatal digubal semula bersesuaian dengan kerangka undang-undang negara ini.
“Kami meletakkan kerangka asas, pindaan mesti mengekalkan semangat 16 seksyen yang terbatal dan pada masa sama bersesuaian dengan Perlembagaan.
“Kami tidak mahu lagi ada pihak mencabar enakmen dengan alasan bertentangan Perlembagaan atau bukan bidang kuasa DUN Kelantan,” katanya.
Tambah beliau, ahli jawatankuasa induk dan teknikal yang dilantik juga berkelayakan termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melor, Wan Rohimi Wan Daud juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal pindaan enakmen terbabit ialah individu peguam selain juga Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia Pas.
“Beliau dibantu pakar-pakar dari pelbagai sektor perundangan termasuk institusi pendidikan tinggi, jabatan-jabatan kerajaan dan badan bukan kerajaan.
“Turut serta mereka daripada Pejabat Penasihat Undang-Undang Kelantan, Jabatan Hal Ehwal Agama Kelantan dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan,” kata beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!