Tetamu tamak, jemputan tak diundang peningkan tuan rumah

MUSIM cuti sekolah sinonim dengan kenduri kahwin yang turut menjadi tempat untuk sanak saudara dan sahabat handai dari serata tempat berkumpul.
Baru-baru ini, Merak Jalanan ada menghadiri sebuah majlis yang agak meriah kerana tuan rumah sediakan pelbagai gerai seperti pasar malam yang menyediakan bermacam juadah.
Tetamu di meja sebelah tidak melepaskan peluang untuk mengambil setiap menu. Sudahnya, penuh meja.
Merak Jalanan terfikir juga, mampukah dia habiskan kesemuanya. Seperti yang dijangka, banyak lagi makanan tidak dihabiskan dan ditinggalkan begitu sahaja. Apa salahnya jika dia bawa pulang lebihan makanan itu sebagai menghormati tuan rumah.
Sayangnya buang rezeki seperti itu. Jika dia tidak bersikap tamak, mungkin tetamu lain juga dapat merasa.
Sepatutnya kita sebagai tetamu perlu ada 'common sense' dan bukan ikutkan nafsu makan semata-mata.
Belum lagi tetamu yang bawa sekampung hadir kenduri sedangkan dalam kad sudah tertera siapa yang dijemput.
Merak Jalanan bersetuju dengan penggunaan RSVP untuk merekodkan kehadiran tetamu dalam sesebuah majlis kerana ia lebih mudah dan tuan rumah tidaklah malu jika tiba-tiba makanan kenduri jadi tak cukup.
Kehadiran 'tetamu tidak diundang' ini pernah dialami teman Merak Jalanan sendiri hingga menyebabkan majlis kecil-kecilan menjadi huru-hara kerana kehabisan makanan sebelum kenduri berakhir.
Bukan hanya keluarganya terpaksa menanggung malu, dia sendiri rasa kecewa apabila rakan yang dijemput bertindak mengajak orang lain yang langsung tiada dalam senarai.
Kita sebagai tetamu sepatutnya jangan memandai tanpa bertanya kepada tuan rumah kerana haram hukumnya jika menjadi 'tetamu tidak diundang'.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!