'Wujudkan segera larangan campur beras tempatan dengan import'

KUALA LUMPUR - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) digesa supaya segera mewujudkan peraturan baharu yang melarang tindakan mencampurkan beras tempatan dengan import.
Datuk Muslimin Yahaya (PN-Sungai Besar) berkata, langkah tegas itu perlu sekiranya ingin menangani masalah ketiadaan beras tempatan di pasaran sejak lebih setahun lalu.
“Ada beberapa ahli Parlimen dalam perbahasan kali ini membangkitkan kemungkinan beras tempatan dicampur dengan import. Kemudian dibungkus dan dijual dengan harga import. Ada munasabahnya kerana beras tempatan tiada di pasaran.
“Saya kira ini waktunya kementerian perlu mewujudkan peraturan baharu yang melarang beras tempatan dicampur dengan import. Saya cadang menteri panggil pemain industri dan beri formula kepada mereka jangan bebankan rakyat,” katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat di sini, pada Rabu.
Oktober tahun lalu, KPKM dilapor akan menjalankan siasatan terhadap beberapa kilang padi yang didakwa menukar beras tempatan kepada beras import.
Timbalan Menterinya, Datuk Arthur Joseph Kurup memberitahu Dewan Rakyat satu peraturan baharu perlu diwujudkan untuk memastikan bekalan beras tempatan (BPT) sekiranya siasatan mengesahkan tuduhan ada campuran beras.
Sementara itu, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) yang bangkit mencelah dengan mengatakan kerajaan boleh membuat serbuan ke kilang terlibat untuk memeriksa sama ada dakwaan tersebut betul atau sebaliknya kerana mempunyai kesemua data berkenaan.
Menurutnya, perkara tersebut boleh dilakukan jika kementerian atau kerajaan benar-benar ingin menyelesaikan masalah yang berlaku sejak sekian lama itu.
“Saya rasa kerajaan ada data dan tahu mana stor simpanan beras import. Kerajaan boleh bertindak (buat pemeriksaan) kerana semua data ada,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

