'Kalau dapat RM1,800 pun tak apa'

Keadaan hasil padi yang tidak memuaskan, memberikan kesan terhadap pendapatan petani yang tidak menentu.
Keadaan hasil padi yang tidak memuaskan, memberikan kesan terhadap pendapatan petani yang tidak menentu.
A
A
A

SHAH ALAM - Rata-rata petani mengharapkan agar harga lantai belian padi ditetapkan pada kadar minimum RM1,800 per tan metrik, bagi membolehkan mereka terus bertahan dalam sektor pertanian, sekali gus menyediakan bekalan makanan negara.

Chu Ah Nya, 77, dari Kota Kuala Muda berkata, sudah semestinya petani mahukan ketetapan harga lantai belian padi mengambil kira pandangan semua pihak dan tidak membebankan golongan berkenaan.

Ah Nya
Ah Nya

“Kalau boleh nak RM2,000, kalau tak boleh, RM1,800 pun tak apa...traktor, racun, mesin padi dan upah semua mahal, ada masa hasil padi pun tak berapa menjadi, kami rugi. Kadang-kadang hasil padi serelong pun tak sampai satu tan, baguslah kalau tetapkan harga lantai,” katanya.

Mohd Yatim Ismail, 64, pula berkata, harga belian padi yang tidak konsisten iaitu pernah mencecah RM1,800 per tan metrik, berubah menjadi RM1,600 per tan metrik dan pernah turun sehingga RM1,300 per tan metrik sebelum ini.

“Kami menanti pengumuman yang akan dibuat kerajaan... subsidi pun sama, nak tengok juga banyak mana peningkatan itu,” ujarnya.

Sementara itu, Mhd Azlan Zakaria, 41, dari Yan mengharapkan agar harga lantai belian padi ditetapkan dengan segera memandangkan kini kebanyakan petani sudah mula menuai hasil pada musim ini.

Artikel Berkaitan:

Mhd Azlan
Mhd Azlan

“Minta kerajaan tetapkan harga lantai dalam masa sehari dua ini, kebanyakan kami dah kerat padi, tak boleh tunggu sebab ada yang sudah masak, ranum.

“Kalau minggu depan takut kena penyakit bena perang, padi rebah, karah tangkai... cepat buat keputusan yang betul dan kena ada surat menyurat (arahan rasmi).

“Kita mahukan RM1,800. Kalau tingkatkan subsidi bagus juga tetapi kena terus kepada petani,” katanya.

Bagi Fazli Abdullah, 51, kos yang meningkat menyebabkan ramai petani menanggung hutang akibat hasil yang diperoleh tidak menentu.

Fazli
Fazli

“Sekarang ini musim kerat padi, ada yang kena harga RM1,300 merungut, nak kena bayar sewa bendang, sewa jentera... hasil tak semua menjadi, mohon kerajaan turun padang lihat sendiri keluhan kami, kalau tetapkan RM1,800 eloklah,” katanya.

Menurut Aswadil Khairi Che Omar, 40, rata-rata petani masih menunggu dan mengharapkan harga lantai belian padi ditetapkan pada kadar RM1,800 per tan metrik namun, sekiranya harga ditetapkan lebih rendah, pemberian subsidi diharap mampu mengurangkan beban.

“Pesawah akan berpuas hati jika permintaan selama ini ditunaikan, paling kurang fikirkan untuk turunkan kos.

“Jika harga lantai bawah RM1,800 dan tiada subsidi tambahan yang lain, kemungkinan pesawah akan tinggalkan tanaman padi sebaliknya gunakan tanah untuk usahakan tanaman lain.

“Tidak mustahil berlaku, tanah sewa kemungkinan diserah balik pada tuan dan jika tuan itu pun tak mampu menanggung kos-kos meningkat, mungkin tanah bendang tersebut ditukar kepada tanaman lain daripada nak menanggung hutang yang meningkat,” katanya.

Fazli (kiri) dan Mhd Azlan menunjukkan tanaman padi yang hampir masa untuk dituai tetapi diserang penyakit bena perang.
Fazli (kiri) dan Mhd Azlan menunjukkan tanaman padi yang hampir masa untuk dituai tetapi diserang penyakit bena perang.

Jelasnya, tindakan itu sudah tentu merugikan negara memandangkan hasil pengeluaran padi merosot, sekali gus tidak mampu memenuhi permintaan pasaran domestik.

Kenaikan harga lantai padi yang baharu akan diumumkan minggu depan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan bagi memastikan keseimbangan harga dalam pasaran beras tempatan.

Memaklumkan perkara itu pada Selasa, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kenaikan itu juga hasil perbincangan bersama Kementerian Kewangan sebelum ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!