Bagan Datuk, Slim River pula tak ada air

IPOH - Selepas gangguan air berlaku di daerah Batang Padang dan Hilir Perak sejak 6 Februari lalu, kini kawasan Bagan Datuk serta Slim River pula berdepan masalah sama.
Lembaga Air Perak (LAP) menerusi Notis Gangguan Bekalan Air Luar Jangka memaklumkan seluruh kawasan Bagan Datuk dan Matang Guntung mengalami gangguan bekalan mulai Rabu.
Menurutnya, gangguan bekalan air tersebut susulan kebocoran paip 1,000mm di Batu 5, Jalan Hutan Melintang, Bagan Datuk.
"Kawasan lain yang terlibat adalah sepanjang laluan dari Batu 5, Jalan Hutan Melintang sehingga ke Simpang Empat, Hutan Melintang dan kawasan sekitarnya.
"Turut terkesan kawasan sekitar Simpang Empat Hutan Melintang hingga ke Kampung Sungai Manila serta Jalan Tepi Sungai Hutan Melintang," katanya menerusi pemakluman di Facebook Lembaga Air Perak ADMIN pada Selasa.

Selain Bagan Datuk, pihak LAP memaklumkan gangguan bekalan air juga berlaku di kawasan Slim River susulan paip 200mm ductile iron pecah berhampiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim.
Jelasnya, kawasan yang terjejas melibatkan IPD Muallim, Kampung Kurnia, Pejabat Daerah dan Tanah Muallim, Masjid Sultan Idris Shah, Taman Krishnan, Bandar Baru, Taman Slim Indah, Taman Bukit Slim serta kawasan sekitarnya.
Menurutnya, tempoh gangguan bekalan bagi kawasan terlibat dijangka pulih setelah kerja-kerja pembaikan selesai dilaksanakan.
Sementara itu, LAP turut memaklumkan sehingga jam 10 pagi Rabu, Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Temoh telah beroperasi semula dengan kapasiti 50 peratus daripada pengeluaran sebenar.
Katanya, ia berikutan pengaktifan semula saluran paip air mentah bersaiz 900mm dari muka sauk Batu 10.
"Proses rawatan air sedang dilaksanakan, dan air yang telah dirawat akan disalurkan ke dalam sistem agihan untuk mengisi tangki-tangki takungan utama.
"Proses ini dijangka mengambil sedikit masa untuk mencapai kestabilan sebelum air dapat disalurkan kepada pengguna," katanya.
LAP juga akan melaksanakan sementara catuan penggiliran bekalan air ke daerah Batang Padang dan Hilir Perak bagi memastikan semua pengguna mendapat bekalan air.
Jelasnya, bekalan air kepada pengguna, di kawasan Tapah dan Bidor akan disalurkan secara berperingkat mulai awal pagi Rabu dan seterusnya digilirkan ke kawasan Hilir Perak.
Pengagihan air melalui lori tangki masih diteruskan, namun jumlahnya akan dikurangkan mengikut kawasan yang sudah menerima bekalan air.
LAP turut menasihati pengguna untuk menyimpan bekalan air sementara proses pemulihan bekalan air sepenuhnya sedang dilaksanakan.
Dalam pada itu, pelbagai pihak turut melaksanakan inisiatif sendiri bagi membantu penduduk yang terjejas disebabkan terputus bekalan air.
Media sebelum ini melaporkan kira-kira 50,000 akaun pengguna LAP di Tapah, Bidor dan Teluk Intan mengalami gangguan bekalan air sejak 6 Februari lalu.
Masalah tersebut dipercayai berpunca daripada kebocoran saluran paip air mentah dari muka sauk Batu 7 Sungai Woh yang menyalurkan air ke LRA Bukit Temoh yang berlaku sejak 4 Februari lalu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!