Konflik Palestin: Malaysia-Qatar bincang pelanggaran syarat Israel

PUTRAJAYA - Malaysia dan Qatar berbincang mengenai perlanggaran syarat gencatan senjata di Gaza yang sengaja dilakukan oleh Israel untuk melengahkan pendamaian.
Berkongsi di laman sosial, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perbincangan itu berlangsung selepas beliau menerima panggilan telefon daripada Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman Al-Thani lewat malam Selasa.
Menurutnya, Malaysia menyanjung usaha Qatar dalam mencari jalan untuk menghentikan segera kekejaman rejim Zionis ke atas penduduk Gaza dan mencapai perdamaian yang berkekalan.
"Kami berbincang mengenai situasi terkini di Gaza terkait perlanggaran syarat gencatan senjata yang sengaja dilakukan oleh Israel untuk melengahkan proses perdamaian diusahakan pelbagai pihak termasuk kerajaan Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat," katanya pada Rabu.
Menerusi perbincangan itu, beliau turut menyatakan komitmen berterusan Malaysia untuk tetap teguh mendokong setiap inisiatif termasuk memberi bantuan kemanusiaan di samping menamatkan penjajahan dan pendudukan Israel di bumi Gaza.
Hamas dan Israel mencapai kata sepakat melaksanakan gencatan senjata pada 19 Januari lalu.
Perjanjian yang berlangsung selama 42 hari dan berakhir pada 1 Mac depan melibatkan pembebasan 33 tahanan Israel sebagai pertukaran dengan sejumlah tahanan Palestin.
Bagaimanapun, Israel didakwa melanggar perjanjian gencatan senjata dengan menyasarkan rakyat Palestin dengna melepaskan tembakan di pelbagai kawasan di Gaza, melambatkan kepulangan penduduk yang dipindahkan ke utara yang teruk dibedil, serta tidak membenarkan bantuan kemanusiaan yang dipersetujui memasuki wilayah tersebut.
Israel juga didakwa melambatkan kemasukan ubat-ubatan penting dan bekalan hospital serta tidak membenarkan kemasukan khemah, rumah pasang siap, bahan api atau jentera pembersih runtuhan ke Gaza.
Setakat ini dilaporkan, 16 daripada 33 tebusan yang dijadualkan dibebaskan dalam fasa semasa perjanjian telah dibebaskan oleh Hamas, manakala Israel telah membebaskan 656 tahanan Palestin daripada senarai hampir 2,000 orang.
Pada malam Isnin lalu, Hamas mengumumkan penangguhan pembebasan tawanan Israel yang dijadualkan pada Sabtu, dengan alasan pelanggaran berterusan Israel terhadap perjanjian gencatan senjata.
Pejabat Media Kerajaan di Gaza, Salama Maarouf berkata, hanya 8,500 trak bantuan memasuki Gaza sejak 19 Januari jauh lebih rendah daripada 12,000 yang dijanjikan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!