PPKM: Tiga syarikat belum diberi kontrak, hanya kelulusan bersyarat

Anthony (empat dari kiri) pada majlis pecah tanah Exio Logistics Hub di Elmina di Shah Alam, pada Rabu.
Anthony (empat dari kiri) pada majlis pecah tanah Exio Logistics Hub di Elmina di Shah Alam, pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Tiga syarikat baharu yang dilantik untuk melaksanakan Perkhidmatan Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) belum diberikan kontrak, sebaliknya hanya kelulusan bersyarat.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menegaskan bahawa lesen operasi hanya akan dikeluarkan selepas syarikat berkenaan menyediakan kemudahan tersebut dalam tempoh dua tahun mengikut kelulusan terbabit.

"Kita menggunakan kaedah pelesenan, jadi bukannya soal bagi kontrak... tak ada pun. Kerajaan tak bayar apa-apa kepada syarikat ini untuk menubuhkan pusat pemeriksaan tersebut. Mereka salah cakap, kita hanya memberikan kelulusan bersyarat.

"Kita bagi dua tahun untuk mereka sediakan dan sudah tentu selepas mereka menyediakan segala kemudahan, ia perlu diperiksa oleh Kementerian Pengangkutan (MOT) melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

"Kalau mereka dapat menyediakan semua kemudahan, mesin, peralatan dan komponen yang diperlukan, baru lesen operasi akan dikeluarkan. Jadi tidak timbul soal kontrak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pecah tanah Exio Logistics Hub di Elmina di sini, pada Rabu.

Sebelum ini dilaporkan, MOT mengumumkan pelantikan tiga syarikat baharu untuk melaksanakan PPKM dan secara tidak langsung menamatkan monopoli Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

Anthony berkata, pelantikan itu selaras dengan keputusan Jemaah Menteri pada 17 Mac 2023 yang bersetuju membuka perkhidmatan pemeriksaan kenderaan motor di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) kepada syarikat lain yang memenuhi syarat.

Mengulas lanjut, menurut Anthony, pelantikan itu juga tidak terhad kepada tiga syarikat terbabit sahaja.

Artikel Berkaitan:

"Bukan terhad kepada tiga syarikat sahaja. Ada banyak lokasi dan negeri yang masih belum ada alternatif kepada Puspakom dan kita padankan. Dia (syarikat) tak boleh ambil tempat yang menguntungkan sahaja.

"Bukan semua 54 pusat pemeriksaan oleh Puspakom ini menguntungkan, ada banyak yang merugikan kerana kos operasi lebih daripada kenderaan yang boleh diperiksa berikutan ada tempat penduduk rendah, maka mungkin kenderaan yang diperiksa tak banyak.

"Jadi apabila kita membuka pasaran ini pun, kita padankan dan syaratkan kepada syarikat yang nak memohon lesen ini. Kalau mereka nak buka di Selangor, dia kena buka satu mungkin di Pahang, Johor atau kawasan luar bandar. Ini yang disyaratkan mengapa ada syarikat ambil tiga lokasi," ujarnya.

Dalam pada itu, Anthony turut mengingatkan pemimpin politik agar tidak mempolemikkan isu berkenaan berikutan ia bertujuan untuk memecahkan monopoli tersebut.

"Sebelum ini memang tak ada pasaran ini kerana hanya dimonopoli oleh sebuah syarikat yang diberikan konsesi oleh kerajaan. Sekarang kita membuka kepada lebih banyak persaingan supaya lebih banyak syarikat boleh terlibat.

"Saya tahu ada orang cuba mempolitikkan. Semua isu dipolitikkan sedangkan ini dasar yang betul. Mengapa mereka tak menyokong? Kita memecahkan monopoli. Banyak aduan dilontarkan orang ramai.

"Jadi sekarang kita membuka pasaran ini kepada lebih banyak pemain industri dan kita nak lihat kemampuan mereka menyediakan kemudahan tersebut," ulasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!