Kos periksa kenderaan dijangka lebih murah - Pakar

SHAH ALAM - Kos pemeriksaan dijangka lebih murah susulan banyak syarikat baharu yang diberi kelulusan untuk membuka Pusat Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) akan berusaha menawarkan harga kompetitif.
Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr Law Teik Hua berkata, perubahan itu sekali gus akan memberi kesan positif kepada pengguna.
Selain itu katanya, pengguna akan mempunyai banyak pilihan lokasi pusat pemeriksaan, menjadikan akses lebih mudah terutamanya di luar bandar atau kawasan yang sebelum ini kurang dilayan oleh Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).
“Ini akan menjimatkan masa dan kos pengangkutan untuk pengguna. Waktu menunggu juga dijangka menjadi lebih singkat.
“Saya melihat dengan adanya banyak pusat pemeriksaan yang beroperasi, be ban kerja akan terbahagi dan pengguna boleh memilih pusat kurang sibuk atau lebih dekat dengan lokasi mereka.
“Ini akan mengurangkan kesesakan dan memendekkan masa menunggu, seterusnya meningkatkan kecekapan dan kepuasan pengguna,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurut Teik Hua, keputusan kerajaan memutuskan Puspakom tidak lagi menjadi
badan tunggal yang menawarkan perkhidmatan tersebut adalah tepat kerana ia mengurangkan risiko monopoli dan penguasaan oleh satu entiti.
Jelasnya, persaingan yang sihat turut mengurangkan peluang untuk sindiket beroperasi kerana setiap pusat akan dipantau dengan lebih teliti.
“Saya juga mencadangkan agar kerajaan menggunakan teknologi seperti sistem berkomputer yang merekodkan setiap pemeriksaan secara automatik, menjadikan sukar untuk memanipulasi keputusan.
“Teknologi ini termasuk penggunaan sensor automatik dan perisian yang merekodkan data, secara langsung boleh meningkatkan ketelusan.
“Teknologi ‘blockchain’ juga boleh digunakan untuk memastikan rekod pemeriksaan tidak boleh diubah atau dimanipulasi.
"Selain itu, penggunaan kamera dan sistem pengawasan dalam pusat pemeriksaan boleh membantu memantau proses secara ‘real-time’,” jelasnya.
Beliau berkata, bagi memastikan persaingan sihat antara syarikat terlibat, kerajaan perlu menetapkan piawaian kualiti yang ketat dan seragam untuk semua pusat pemeriksaan kenderaan.
“Selain itu, kerajaan boleh melaksanakan audit berkala dan pemantauan berterusan untuk memastikan pematuhan. Penguatkuasaan undang-undang yang tegas terhadap sebarang pelanggaran juga penting untuk mengekalkan integriti sistem,” jelasnya.
Pakar psikologi trafik dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Dr Rozmi Ismail pula berpandangan, pemilihan banyak syarikat baharu yang diberi kelulusan adalah satu perkembangan positif.
Bagaimanapun, apa yang menimbulkan kebimbangan di pihaknya adalah daripada segi jaminan oleh kerajaan dalam memastikan elemen integriti dipatuhi dan diberikan keutamaan.
Beliau berkata, sekiranya kewujudan lebih banyak syarikat yang menawarkan perkhidmatan berkenaan menyebabkan harganya lebih murah, ia sudah tentu menguntungkan pengguna.
Bagaimanapun katanya, perkara yang lebih utama ialah keselamatan kenderaan bagi mengelakkan tragedi yang tidak diingini berlaku.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

