Cadang wujudkan sistem pemantauan digital pantau PPKM

SHAH ALAM - Gabungan e-Hailing Malaysia (GEM) mencadangkan Kementerian Pengangkutan (MOT) mewujudkan satu sistem pemantauan digital khas bagi memantau operasi harian Pusat Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) bagi mengelakkan dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab dan menjadi lubuk kes rasuah.
Ketua Aktivisnya, Jose Rizal berkata, wujud kebimbangan penghapusan monopoli Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) dan penubuhan PPKM dikendalikan syarikat swasta bakal mencetuskan masalah berkenaan.
Menurutnya, setiap pemeriksaan kenderaan dibuat di PPKM perlu direkodkan dengan bukti bergambar dan video sebagai rujukan sekiranya berlaku sebarang pertikaian di kemudian hari.
“Kementerian juga perlu melakukan pemeriksaan dan audit berkala terhadap PPKM bagi memastikan mereka mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.
“MOT tidak boleh berkompromi dan perlu mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana PPKM yang dikesan melanggar SOP pemeriksaan atau terlibat dalam amalan rasuah,” katanya kepada Sinar Harian.
Jose turut meminta kerajaan menetapkan harga siling terhadap pemeriksaan kenderaan dibuat di PPKM supaya tidak membebankan pengguna biasa dan pemandu e-hailing di seluruh negara.
Katanya, GEM juga berharap penubuhan PPKM itu membolehkan pengguna diberi hak untuk menyaksikan sendiri pemeriksaan kenderaan mereka, seperti diamalkan di negara lain.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

