Industri pemeriksaan kenderaan jadi lebih dinamik, wujudkan persaingan sihat - Puspakom

Mahmood Razak
Mahmood Razak
A
A
A

SHAH ALAM - Syarikat pemeriksaan kenderaan pertama Malaysia, Puspakom Sdn Bhd (Puspakom) menyifatkan kemasukan syarikat-syarikat baharu ke dalam sektor pemeriksaan kenderaan di negara ini menjadikan industri itu lebih dinamik dan mewujudkan persaingan yang sihat.

Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Mahmood Razak Bahman berkata, pihaknya menyambut baik pengumuman terkini oleh Kementerian Pengangkutan (MOT) tentang penglibatan syarikat-syarikat baharu dalam industri perkhidmatan pemeriksaan kenderaan.

“Puspakom pula akan terus berusaha menambah baik kualiti perkhidmatan kepada semua pelanggan.

“Dari sudut positif, dengan adanya syarikat-syarikat pengendali baharu ini, kita dapat berkongsi tanggungjawab dalam memastikan keselamatan kenderaan dan dapat bertukar pendapat bagi meningkatkan kualiti pemeriksaan kenderaan di Malaysia bersama,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

MOT terdahulu mengumumkan pelantikan tiga syarikat baharu untuk melaksanakan Perkhidmatan Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) sekali gus menamatkan monopoli Puspakom.

Menterinya, Anthony Loke berkata, pelantikan tersebut selaras dengan keputusan Jemaah Menteri pada 17 Mac 2023 yang bersetuju membuka perkhidmatan pemeriksaan kenderaan motor di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) kepada syarikat lain yang memenuhi syarat.

Mahmood menjelaskan, peranan semua pihak amat penting untuk memastikan budaya keselamatan jalan raya dapat dibina dan dipupuk.

Justeru, katanya, mentaliti menjalankan pemeriksaan hanya untuk lulus perlu dihapuskan sepenuhnya.

Ujar beliau, sebaliknya pemilik kenderaan perlu mempunyai kesedaran bahawa pemeriksaan kenderaan adalah untuk keselamatan diri dan semua pengguna jalan raya.

Artikel Berkaitan:

“Ini merupakan peluang untuk semua pihak berganding bahu memupuk budaya keselamatan jalan raya,” tambah Mahmood lagi.

Mahmood menegaskan, mengenai isu integriti pula, Puspakom tidak akan bertolak ansur terhadap apa jua salah laku yang melibatkan kakitangan mereka.

“Kita semua maklum ketika ini ada kakitangan Puspakom sedang disiasat oleh pihak berkuasa. Saya ingin sekali lagi menegaskan kita bekerjasama dengan pihak berkuasa dan tidak akan berkompromi tentang isu jenayah rasuah.

“Ini menandakan permulaan era yang mencabar namun menarik bagi Puspakom. Fokus kami adalah untuk meningkatkan standard integriti dalam semua aspek,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!