Pikul tanggungjawab didik isteri mualaf dalami Islam

SHAH ALAM - Sebagai individu yang membawa seorang mualaf dalam rumah tangga, Jasmani Nasir perlu memikul tanggungjawab berat dan sentiasa bersabar ketika mengajar isterinya tentang agama Islam.
Jasmani berkata, dia menggunakan pendekatan yang lebih lembut iaitu mengajar secara santai bagi memperlihatkan keindahan ajaran Islam.
Menurutnya, paling penting kena bijak mengawal keadaan dan melayan ego pasangan mualaf kerana yang diajar itu bukan kanak-kanak.

"Mereka ini umpama kain putih, kita yang akan mencorakkannya, kalau cara buruk maka buruk juga lah hasilnya. Perbanyakkan cerita tentang nabi agar mereka lebih faham tentang ajaran Islam.
"Syukur pada ALLAH, respons isteri sangat baik dalam mengenal Islam dan menunjukkan minat untuk mempelajarinya dengan lebih mendalam," ujarnya.
Baru melangsungkan perkahwinan pada akhir Februari lalu, beliau memberitahu, perkara yang mencabar bukan tentang isterinya tetapi diri sendiri.
"Saya sendiri masih banyak kena belajar tentang Islam. Jadi apa yang saya ajar pada isteri hanyalah ilmu yang pernah diajar oleh ibu bapa dan guru ketika di sekolah.
"Selebihnya kami belajar sama-sama. Sebelum kahwin lagi saya ada beri dia pendedahan tentang Islam antaranya ajar berpuasa, cara tutup aurat dengan sempurna serta menceritakan tentang Islam tanpa merendahkan agama asalnya," jelasnya.
Jasmani turut bersyukur kerana mahligai yang dibina itu mendapat restu daripada keluarga masing- masing.
"Kami bersyukur kepada ALLAH sebab kedua-dua belah pihak (keluarga) menerima dengan baik hubungan kami berdua.
"Akhir sekali saya doakan semua pasangan yang sama dengan saya akan kekal sampai ke syurga," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!