100 jurutera diperlukan dalam industri penerbangan Turkiye - Malaysia

Erdoğan menyampaikan syarahan umum di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. Foto Bernama
Erdoğan menyampaikan syarahan umum di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Industri penerbangan Turkiye - Malaysia menawarkan peluang pekerjaan kepada lebih 100 jurutera muda dari negara ini.

Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan berkata, perkara itu dapat direalisasikan menerusi kerjasama dalam teknologi dan pengeluaran.

"Kami telah berada di tahap menuai hasil daripada visi ini.

"Industri Penerbangan Turkiye Malaysia kini menjadi pusat yang aktif dengan menawarkan peluang pekerjaan kepada lebih 100 jurutera muda tempatan," katanya menerusi syarahan umum di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Isnin.

Menurutnya, dengan kerjasama syarikat industri pertahanan, pembinaan kumpulan kedua Kapal Misi Littoral kini sedang dijalankan.

"Kami juga mempunyai kerjasama yang ketara membangunkan dron tempur tanpa pemandu (Ankq UAV) untuk kegunaan ketenteraan," ujar Erdogan.

Beliau berkata, nilai dagangan negara itu melebihi AS$5 bilion daripada sasaran yang ditetapkan pada 2024.

"Kami menyasarkan untuk meningkatkan perdagangan sehingga AS$10 bilion dengan cara yang seimbang," katanya.

Turkiye turut menyuarakan hasrat untuk meningkatkan usaha bersama dengan Malaysia dalam pelbagai bidang antaranya daripada teknologi semikonduktor kepada automotif, teknologi pesawat kepada simulator awam.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, sebagai pintu masuk ke Asia dan Eropah, Malaysia serta Turkiye mempunyai manfaat mengukuhkan lagi sektor udara dan penerbangan.

“Lapangan terbang kedua terbesar kami dikendalikan oleh Pihak Berkuasa Lapangan Terbang Malaysia.

"Saya menganggap langkah bersama kita dalam bidang sivil sangat berharga,” katanya.

Erdogan dalam pada itu menjemput pelajar Malaysia untuk melanjutkan pengajian di negara tersebut sekali gus sebagai usaha kedua-dua negara membentuk generasi baharu dengan mewujudkan infrastruktur yang diperlukan dalam hal ini.

“Pernah suatu ketika belia yang menderita akibat amalan terlarang dan zalim di Turkiye telah datang ke Malaysia dan melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi di sini.

“Kami telah membuat pelaburan besar dalam pendidikan dengan membangunkan peluang lebih besar terutamanya dalam bidang pendidikan di Turkiye," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!