Presiden Turkiye tamatkan lawatan rasmi ke Malaysia

Erdogan melambaikan tangan selepas menamatkan lawatan rasminya ke Malaysia pada Selasa di Kompleks Bunga Raya, KLIA. Foto Bernama
Erdogan melambaikan tangan selepas menamatkan lawatan rasminya ke Malaysia pada Selasa di Kompleks Bunga Raya, KLIA. Foto Bernama
A
A
A

SEPANG - Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan berlepas ke Jakarta, Indonesia pada Selasa selepas menamatkan lawatan rasmi dua hari ke Malaysia bermula Isnin.

Erdogan diberikan upacara pelepasan pulang dengan hamparan permaidani merah dan kawalan kehormatan oleh Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja yang diketuai Kapten Harith Iskandar di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini.

Selepas upacara itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyerahkan sebuah album khas kepada Erdogan, yang mengandungi gambar-gambar lawatan beliau ke Malaysia.

Pesawat khas yang membawa Erdogan, Wanita Pertama Turkiye, Emine Erdogan dan delegasi berlepas dari Kompleks Bunga Raya ke Jakarta pada 5.45 petang.

Erdogan menerima cenderahati daripada Mohamed Khaled selepas menamatkan lawatan rasminya ke Malaysia pada Selasa. Foto Bernama
Erdogan menerima cenderahati daripada Mohamed Khaled selepas menamatkan lawatan rasminya ke Malaysia pada Selasa. Foto Bernama

Lawatan Erdogan itu ialah jemputan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mengeratkan hubungan kukuh antara kedua-dua negara.

Pada Isnin, Erdogan mengumumkan bahawa Turkiye menyasarkan untuk menggandakan jumlah perdagangan dengan Malaysia kepada AS$10 bilion setelah melepasi nilai AS$5 bilion pada 2024.

Pada Selasa, Anwar berkata, Malaysia dan Turkiye perlu bekerjasama dalam pelbagai sektor termasuk semikonduktor, agrokomoditi, elektrik dan elektronik serta makanan dan minuman untuk mencapai sasaran perdagangan dua hala sebanyak AS$10 bilion (RM44.68 bilion).

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Malaysia dan Turkiye menandatangani 11 Memorandum Persefahaman (MoU) untuk meningkatkan kerjasama dalam pelbagai sektor bersempena dengan lawatan rasmi Erdogan ke Malaysia dari 10 hingga 11 Februari.

Dokumen berkenaan meliputi bidang utama seperti peralihan tenaga, pengurusan bencana, pertahanan, perdagangan dan kerjasama media.

Jumlah keseluruhan perdagangan antara Malaysia dengan Turkiye merekodkan RM24.13 bilion (AS$5.28 bilion) pada 2024, peningkatan 18.7 peratus berbanding 2023. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!