MBPJ saran peniaga bazar Ramadan ambil perlindungan PERKESO

Aznan (dua dari kanan) ketika sidang akhbar selepas majlis Taklimat, Cabutan Undi Petak Bazar Ramadan 'Bahagia dan Lestari' 2025 di Dewan Banquet pada Rabu.
Aznan (dua dari kanan) ketika sidang akhbar selepas majlis Taklimat, Cabutan Undi Petak Bazar Ramadan 'Bahagia dan Lestari' 2025 di Dewan Banquet pada Rabu.
A
A
A

PETALING JAYA - Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menyarankan peniaga bazar Ramadan di sekitar daerah ini mengambil perlindungan dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Timbalan Datuk Bandar Petaling Jaya, Aznan Hassan berkata, ia merupakan inisiatif pihak berkuasa tempatan (PBT) itu dalam melindungi keselamatan peniaga daripada sebarang kemalangan yang tidak dijangkakan.

"Ini kali pertama MBPJ bekerjasama dengan PERKESO dan saya cadangkan agar peniaga mengambil perlindungan dengan PERKESO, yang saya difahamkan hanya bayar RM13.90 sekali sahaja untuk melindungi mereka sepanjang berniaga pada bulan Ramadan.

"Kami bukan sahaja menyediakan tapak atau ruang untuk mereka berniaga tetapi memikirkan juga mengenai keselamatan mereka.

"Tentunya keselamatan pengunjung juga tidak dilupakan di mana kami turut sediakan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) di lokasi bazar kerana kami jangka akan berlaku kesesakan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas majlis Taklimat, Cabutan Undi Petak Bazar Ramadan 'Bahagia dan Lestari' 2025 di Dewan Banquet di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, Aznan berkata, pihak majlis telah menerima permohonan sebanyak 88 peratus iaitu 1,108 daripada 1,260 petak jualan yang disediakan meliputi 18 lokasi jualan.

"Jumlah permohonan itu menunjukkan peningkatan sebanyak 18 peratus berbanding tahun sebelumnya.

"MBPJ akan memastikan pengalaman yang lebih selesa, kondusif dan lestari buat semua dengan tema 'Bahagia dan Lestari'," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Aznan, MBPJ turut merangka beberapa inisiatif utama seperti Bakul Bahagianya Ramadan@PJ 2025 yang akan mengedar lebihan makanan dari bazar kepada golongan memerlukan.

"Selain itu, program Kitar Semula Minyak Masak diteruskan selepas kejayaan mengumpul 2.5 tan minyak terpakai di 22 lokasi bazar pada tahun lepas dan Kempen Bebas Beg Plastik diperkenalkan dengan peruntukan berjumlah RM30,000.

"Sebagai penghargaan, Anugerah Usahawan Mikro 'Bahagia dan Lestari' 2025 akan diberikan kepada 20 usahawan terbaik yang bukan sahaja menerima ganjaran wang tunai RM500, malah mempunyai keistimewaan memilih tapak perniagaan bazar pada 2026," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!