DBKL sediakan 3,000 lot tapak bazar Ramadan

PUTRAJAYA - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bakal menyediakan kira-kira 3,000 lot tapak bazar Ramadan di setiap kawasan seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, pelaksanaan pemberian lesen termasuk inisiatif penyelenggaraannya sudah hampir selesai, malah pemohon berminat sudah diberikan taklimat berkenaan perjalanan operasi bazar Ramadan berkenaan.
"Ia bertujuan memastikan operasi perniagaan sepanjang tempoh itu dapat berlangsung secara lebih teratur dan tersusun," katanya kepada media ketika menghadiri Hari Terbuka Pertanian Bandar dan Kelulut Putrajaya (HTPBKP)2025 di Taman Botani di sini pada Sabtu.

Turut hadir, Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Fadlun Mak Ujud.
Sebelum ini media melaporkan, Zaliha berkata, tapak bazar Ramadan akan di struktur semula membabitkan kajian ke atas jumlah lesen yang akan dikeluarkan serta kadar sewaan bakal dikenakan ke atas operator di bazar Ramadan.
Katanya, pemegang lesen Kuala Lumpur (KL) Madani yang berminat berniaga di bazar Ramadan boleh mengemukakan kepada DBKL melalui saluran pendaftaran sedia ada.
Sinar Harian dimaklumkan lebih 3,000 peniaga bakal beroperasi di 65 lokasi bazar di Kuala Lumpur sepanjang Ramadan tahun depan yang dijangka bermula pada 2 Mac hadapan.
Antara lokasi bazar Ramadan seliaan DBKL yang popular dan menjadi tarikan pengunjung seluruh negara sempena musim perayaan Aidilfitri adalah Bazar Ramadan Lorong Tuanku Abdul Rahman (TAR), Jalan Raja yang terletak di tengah-tengah ibu kota.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

