Budak terlanggar 'mirror maze': Taman Infinity Mirror Maze Penawar ditutup sementara waktu

Kenyataan mengenai Taman Infinity Mirror Maze Penawar yang ditutup sementara waktu.
Kenyataan mengenai Taman Infinity Mirror Maze Penawar yang ditutup sementara waktu.
A
A
A

KOTA TINGGI - Taman Infinity Mirror Maze Penawar, di sini ditutup sementara waktu susulan insiden seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun terpaksa menerima 12 jahitan selepas mengalami kecederaan serius akibat terlanggar cermin kaca di taman berkenaan, baru-baru ini.

Majlis Perbandaran Pengerang (MPP) dalam kenyataan pada Isnin, memaklumkan penutupan itu bagi memberi ruang pihaknya meneliti dan meningkatkan faktor keselamatan sebelum ia dibuka semula kepada pengunjung.

"Merujuk kepada siaran media daripada Sinar Harian yang bertarikh pada 10 Februari, MPP melahirkan rasa sedih dan simpati di atas kemalangan yang menimpa seorang kanak-kanak yang tercedera ketika bermain di Taman Infinity Mirror Maze Penawar.

"Sehubungan dengan itu, pihak MPP mengambil serius kejadian yang berlaku dan sedang menyiasat lebih lanjut kes yang berlaku agar kejadian seperti ini tidak akan berulang kembali," katanya.

Dalam kenyataan itu turut dimaklumkan mengenai Taman Infinity Mirror Maze Penawar yang dibangunkan seiring dengan trend pembangunan landskap terkini.

"Taman ini telah dibuka sejak Januari 2025 dan telah menjadi tumpuan pengunjung pelbagai peringkat umur termasuk kanak-kanak.

"Sebagai langkah keselamatan, MPP juga telah memasang kamera litar tertutup (CCTV) bagi tujuan pengawasan, memasang lampu LED di setiap kepingan cermin bagi tujuan pencahayaan.

"Selain itu papan informasi turut diletakkan untuk tatacara permainan serta info peringatan kepada setiap ibu bapa untuk sentiasa mengawasi kanak-kanak setiap masa ketika bermain di kawasan ini kerana kaedah penggunaan taman ini berbeza dengan taman permainan kovensional," katanya.

Justeru, MPP meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi dan akan terus giat melakukan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan pengunjung.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu, pada Isnin Sinar Harian melaporkan suri rumah, Nurul Shazrina Roslee, 38, berkata, detik cemas yang menimpa anak sulungnya berlaku ketika mereka sekeluarga mengunjungi taman awam tersebut sekitar jam 9.30 malam untuk menyaksikan tarikan baharu di sana.

Setibanya di lokasi kejadian, Nurul Shazrina menemui ‘mirror maze’ berbentuk bulatan dengan lampu-lampu di sepanjang cermin yang menyebabkan keadaan menjadi keliru akibat pantulan kaca pada waktu malam.

“Pada mulanya, kami menyangka permukaan cermin itu akrilik, bukannya kaca yang boleh membahayakan pengunjung.

“Ketika sedang memegang dua anak kecil, saya melihat si sulung sudah berjalan ke depan sebelum terdengar bunyi hempasan kaca yang sangat kuat,” katanya kepada Sinar Harian.

Sebagai langkah susulan, Nurul Shazrina sudah membuat aduan kepada Majlis Perbandaran Pengerang dan pihak berkuasa telah menutup kawasan tersebut sehari selepas kejadian.

“Tujuan aduan ini dibuat adalah demi meningkatkan kesedaran dan bukan untuk menyaman mana-mana pihak,” katanya

@sinarharianonline

Taman Infinity Mirror Maze Penawar ditutup sementara waktu susulan insiden seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun terpaksa menerima 12 jahitan selepas mengalami kecederaan serius akibat terlanggar cermin kaca di taman berkenaan, baru-baru ini. Majlis Perbandaran Pengerang (MPP) dalam kenyataan pada Isnin, memaklumkan penutupan itu bagi memberi ruang pihaknya meneliti dan meningkatkan faktor keselamatan sebelum ia dibuka semula kepada pengunjung. Anda boleh baca berita penuh di portal Sinar Harian di www.sinarharian.com.my atau swipe up di IG story serta jangan lupa follow IG @sinarharian untuk berita terkini dalam dan luar negara. #SinarHarian #SinarTerkini #KotaTinggi #Cedera #MPP

News, news, seriousness, tension(1077866) - Lyrebirds music

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!