Pengarah dituduh tipu kes AMLA RM5.1 juta

Gopinatan Pillai (tengah) dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Isnin, atas lapan pertuduhan menipu dan terlibat dalam kes pengubahan wang haram berjumlah RM5.1 juta bagi urusan jual beli sarung tangan, lima tahun lalu.
Gopinatan Pillai (tengah) dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Isnin, atas lapan pertuduhan menipu dan terlibat dalam kes pengubahan wang haram berjumlah RM5.1 juta bagi urusan jual beli sarung tangan, lima tahun lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pengarah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin, atas lapan pertuduhan menipu dan terlibat dalam kes pengubahan wang haram berjumlah RM5.1 juta bagi urusan jual beli sarung tangan, lima tahun lalu.

R Gopinatan Pillai, 60, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Hamidah Mohamed Deril.

Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa menipu seorang individu dengan memperdayakannya bahawa 150,000 kotak sarung tangan jenis ‘Coats Nitrile Examination’ telah sedia ada di Hartalega Sdn Bhd untuk dijual.

Ia diserahkan oleh Aspen Broadway Sdn Bhd milik tertuduh kepada sebuah syarikat lain sedangkan stok sarung tangan tersebut, tidak wujud.

Perbuatan itu menyebabkan mangsa menyerahkan wang itu ke akaun bank firma guaman yang dilantik Aspen Broadway yang mana tidak akan diserahkan sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.

Bapa dua anak itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan di sebuah kondominium di Jalan Tun Ismail, dekat sini, pada 9 November 2020.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi enam pertuduhan, dia dituduh memindahkan wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM5.005 juta daripada akaun bank syarikatnya ke beberapa akaun bank syarikat lain dan akaun peribadinya, di beberapa buah bank di Sentul, di sini, antara 10 November 2020 dan 6 Februari 2021.

Artikel Berkaitan:

Menurut pertuduhan kelapan pula, dia dituduh menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM5.1 juta daripada akaun bank sebuah firma guaman ke akaun bank milik syarikatnya, di beberapa buah bank di Sentul, di sini, pada tarikh sama.

Kesemua kesalahan didakwa mengikut Perenggan 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Chow Siang Kong mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM2.5 juta dengan dua orang penjamin bagi kesemua pertuduhan.

“Kami juga mencadangkan tertuduh dikenakan syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

“Pendakwaan memohon mahkamah mengambil kira keseriusan kes dan faktor kerugian yang terlibat RM5.1 juta,” katanya.

Bagaimanapun, peguam, K Komagan yang mewakili tertuduh, merayu anak guamnya dikenakan jaminan pada kadar minimum kerana dia merupakan penanggung utama keluarga dan memberikan kerjasama yang baik kepada pihak polis, sejak kes ini disiasat.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Hamidah membenarkan tertuduh diikat jamin RM280,000 bagi semua pertuduhan dengan dua orang penjamin.

“Tertuduh juga dikenakan syarat tambahan iaitu melaporkan diri di balai polis dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

“Mahkamah menetapkan sebutan semula kes 26 Mac depan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!