[VIDEO] Kemalangan bongkar cubaan edar syabu bernilai hampir RM9 juta
KUANTAN - Kemalangan langgar lari membabitkan kenderaan pelbagai guna (MPV) dan motosikal dinaiki dua lelaki di Jalan Kampung Pagar Sasak, Lipis, di sini, membongkar cubaan mengedar 275.4 kilogram dadah jenis syabu bernilai lebih RM8 juta.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, dalam kejadian jam 12 tengah hari pada Khamis lalu, tindakan pemandu MPV melarikan diri selepas kemalangan menyebabkan polis bertindak mengejar kenderaan terbabit sebelum pemandu yang juga suspek berusia 67 berjaya ditahan.

"Hasil pemeriksaan terhadap kenderaan digunakan membawa kepada penemuan 261 bungkusan teh berlabel ‘Chrysanthemum Tea' berisi syabu.
"Susulan penemuan dadah ini, polis bertindak menahan seorang lagi suspek lelaki berusia 31 tahun selepas berada dalam keadaan mencurigakan di lokasi kejadian," katanya ketika sidang akhbar di Bilik Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang hari ini.
Yahaya berkata, hasil siasatan mendapati, suspek menaiki kenderaan berasingan dipercayai dalam perjalanan ke Lembah Klang menggunakan laluan alternatif bagi mengelak dihidu pihak berkuasa.
"Kedua-dua suspek dipercayai menggunakan negeri ini sebagai hub laluan dan transit pengedaran bahan terlarang.
"Suspek terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah jenis syabu dengan berperanan sebagai 'transporter' untuk menghantar bekalan dadah dipercayai diperoleh dari negara jiran menggunakan kenderaan dipercayai disewa," katanya.

Menurut Yahaya, suspek pertama menaiki Toyota Wish manakala lelaki kedua menaiki kereta jenis Perodua Myvi bertindak sebagai 'tonto'.
"Kedua-dua suspek.dipercayai bergiat aktif dalam kegiatan haram ini sejak awal Januari lalu," katanya.
Tambah Yahaya, berdasarkan anggaran dadah dirampas boleh dibekalkan kepada 520,000 penagih dadah dalam tempoh sehari.
"Selain menyita dadah dan kenderaan, polis turut merampas wang tunai berjumlah RM5,650.
"Nilai keseluruhan rampasan mencecah lebih RM8.8 juta dan terbesar di negeri ini dalam tempoh tiga tahun," katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
"Saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif dadah namun semakan kedua-duanya ada rekod jenayah lampau berkait kes jenayah dan dadah.
"Kedua-dua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga 13 Februari depan untuk siasatan lanjut," katanya.
Sementara itu Yahaya berkata, kemalangan terbabit menyebabkan penunggang dan pembonceng mengalami kecederaan parah.
"Mangsa remaja berusia 16 tahun adalah penduduk kampung dan selepas melanggar motosikal tersebut, suspek bertindak melarikan diri sebelum dikejar orang ramai.
"Bagaimanapun MPV ini tidak boleh bergerak laju selepas salah satu tayarnya pecah sebelum berjaya dihalang dan ditahan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

