Kelindan lori dicekup polis ketika angkat dadah hampir 20kg dalam kereta

Sebanyak 44 bungkusan plastik dadah dipercayai heroin berjaya dirampas dalam serbuan di Meru Raya pada Selasa.
Sebanyak 44 bungkusan plastik dadah dipercayai heroin berjaya dirampas dalam serbuan di Meru Raya pada Selasa.
A
A
A

IPOH - Seorang kelindan lori dicekup polis ketika sedang mengangkat bungkusan dadah seberat 19.2 kilogram (kg) dalam sebuah kereta jenis Perodua Bezza di Meru Raya di sini pada Selasa.

.Tindakan lelaki berusia 42 tahun yang dipercayai ahli sindiket pengedaran dadah itu telah diperhatikan sepasukan pegawai dan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.

Pemangku Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat berkata, tangkapan dibuat terhadap sekitar jam 11.20 pagi ketika suspek dipercayai sedang menunggu pembeli.

Zulkafli (tengah) dalam sidang media di IPK Perak di Ipoh.
Zulkafli (tengah) dalam sidang media di IPK Perak di Ipoh.

Menurut beliau, polis merampas 44 bungkusan plastik disyaki dadah jenis heroin bernilai RM220,000.

"Siasatan awal mendapati suspek yang mempunyai 13 rekod jenayah lampau itu mulai aktif dalam aktiviti pengedaran dadah sejak Oktober 2024.

"Dadah yang dirampas disyaki untuk diedarkan di pasaran tempatan dan sekitar negeri Perak dan jumlah heroin yang dirampas ini boleh dibekalkan kepada lebih 40,000 orang penagih dadah.

Artikel Berkaitan:

"Ujian saringan awal air kencing yang dijalankan mendapati suspek positif dadah jenis morfin dan reman diperoleh selama enam hari sehingga Isnin depan bagi membantu siasatan," katanya dalam sidang akhbar di IPK Perak pada Khamis.

Tambah Zulkafli, kes disiasat di bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan siasatan lanjut dijalankan bagi menjejaki rangkaian bekalan dan dalang yang terlibat.

Zulkafli (tengah) menunjukkan dadah yang berjaya dirampas daripada seorang lelaki Selasa lalu.
Zulkafli (tengah) menunjukkan dadah yang berjaya dirampas daripada seorang lelaki Selasa lalu.

Dalam perkembangan lain, Zulkafli berkata, Polis Perak telah menahan 20,458 orang individu atas pelbagai kesalahan dadah menerusi pelbagai siri operasi di seluruh negeri sepanjang tahun 2024.

Jelas beliau, daripada jumlah tangkapan itu, seramai 598 penagih tegar telah dituduh mengikut Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Hasil tindakan dan operasi ini, polis telah merampas 259.6kg pelbagai jenis dadah jenis syabu, ketamin, pil ecstacy, pil yaba dan pil erimin 5 serta 32.12 liter kafein.

"Nilai keseluruhan rampasan dadah berjumlah RM9,795,198.82 manakala nilai sitaan harta adalah sebanyak RM 7,945,204.90," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!