Tiga beranak ditahan bersama dadah lebih setengah juta

MELAKA - [DIKEMAS KINI] Polis Melaka berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah selepas menahan tiga tokan termasuk pelajar sekolah dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM556,000 pada Ahad lalu.
Pemangku Ketua Polis Melaka, Datuk Md Nazri Zawawi berkata, serbuan yang dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis (IPD) Jasin lebih kurang jam 8 malam, telah menahan tiga individu berusia 17 hingga 49 tahun di sebuah kediaman di Muar, Johor.
Menurutnya, ketiga-tiga mereka mempunyai pertalian keluarga iaitu bapa dan dua orang anak termasuk seorang pelajar sekolah menengah yang juga calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.
Katanya, pemeriksaan lanjut yang dijalankan dalam kediaman itu menemukan heroin seberat 23,372 gram, syabu seberat 10,200 gram dan pil erimin 5 sebanyak 275 biji.
"Polis turut menyita harta milik kesemua individu yang ditahan bernilai RM56,050.
"Antara harta yang disita termasuk sebuah kereta jenis Toyota Camry, barang kemas serta wang tunai," katanya.
Jelasnya, ujian saringan air kencing yang dijalankan turut mendapati kesemua individu negatif dadah namun seorang daripada mereka mempunyai rekod lampau jenayah dan narkotik.
"Sindiket ini dipercayai bergiat aktif sejak pertengahan tahun lalu di sekitar kawasan Muar, Johor dan Jasin.
"Dadah yang dirampas dipercayai untuk pasaran tempatan yang boleh digunakan seramai 442,860 penagih," katanya.
Tambahnya, kesemua suspek kini direman selama tujuh hari bermula Isnin lalu dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana kesalahan mengedar.
@sinarharianonline Tiga beranak ditahan bersama dadah lebih setengah juta Polis Melaka berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah selepas menahan tiga tokan termasuk pelajar sekolah dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM556,000 pada Ahad lalu. Pemangku Ketua Polis Melaka, Datuk Md Nazri Zawawi berkata, serbuan yang dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis (IPD) Jasin lebih kurang jam 8 malam, telah menahan tiga individu berusia 17 hingga 49 tahun di sebuah kediaman di Muar, Johor. #sinarharian#beritaterkini#dadah#SPM#Melaka#Muar BCC News - Ockeroid
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

