Dua kondo mewah jadi lubuk simpan dadah RM12.88 juta

KUALA LUMPUR - Sindiket pengedaran dadah yang menjadikan dua kondominium mewah sebagai tempat menyimpan bekalan dadah terbongkar selepas diserbu polis di sekitar Lembah Klang, pada Selasa dan Ahad lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, dalam serbuan itu, pihaknya menahan enam individu termasuk seorang wanita secara berasingan serta merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM12.88 juta.
"Kita menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 31 tahun di lif parkir kenderaan di sebuah kondominum di Batu Caves, pada jam 2.30 petang, Ahad," katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman, pada Isnin.

Kok Chin berkata, hasil pemeriksaan, polis menjumpai lima beg berisi 50 bungkusan dadah syabu di tempat duduk belakang sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Toyota Fortuner.
"Kita turut menjumpai 32 bungkusan yang disyaki dadah jenis ketamin di dalam but kenderaan berkenaan," ujarnya.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut, polis menjumpai enam guni berisi 36 bungkusan syabu dan 139 bungkusan ketamin di ruang tamu di sebuah unit kondominum berkenaan.
"Kita merampas syabu anggaran berat 88.816 kilogram dan ketamin 171.755 kilogram dianggarkan bernilai RM11.43 juta," katanya.
Kok Chin berkata, lelaki yang tiada rekod jenayah itu aktif sejak Disember lalu menerima gaji sebanyak RM10,000 daripada sindiket serta komisyen RM2,000 untuk sekali penghantaran dadah kepada pelanggan.
"Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah ketamin," katanya.
Dalam perkembangan berasingan, Kok Chin berkata, pihaknya menahan empat lelaki dan seorang wanita berusia 36 hingga 46 tahun dalam serbuan di kondominum Taman Suntex, Cheras, pada Selasa lalu.
"Kita turut merampas dadah jenis heroin, heroin base, syabu, pil yaba, pil ekstasi dan methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) dianggarkan bernilai RM1.45 juta," katanya.
Beliau berkata, salah seorang lelaki berusia 46 tahun ditahan merupakan dalang sindiket serta memiliki 20 rekod dadah dan jenayah.
"Sindiket ini dipercayai aktif sejak Oktober lalu dan bekalan dadah itu untuk pasaran di pusat hiburan Sekitar Lembah Klang," katanya.
Kok Chin berkata, tindakan juga diambil mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan menyita dua kenderaan dan tiga utas jam tangan," katanya.
Menurutnya, ujian saringan awal air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah.
"Kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
