Bomba ambil masa dua hari selamatkan wanita Orang Asli dipatuk ular

No Image Caption
A
A
A

IPOH - Seorang wanita Orang Asli mengalami gejala muntah dan tidak dapat berjalan selepas dipercayai dipatuk ular di Kampung Lenweng dekat Pos Kemar, Gerik pada Selasa lepas.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, mangsa Ana Along, 32, dibawa keluar dari kampung itu ke Pos Kemar sejauh kira-kira 10 kilometer (km) oleh sepasukan anggota bomba dengan bantuan polis serta dua malim gunung.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan berkaitan insiden itu pada jam 3 petang semalam, sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Gerik dan Pengkalan Hulu dikejarkan ke lokasi kejadian sejauh 50km.

"Pihak bomba telah memulakan perjalanan ke Kampung Lenweng pada 6 petang semalam dan tiba di lokasi kira-kira jam 12.30 tengah malam tadi.

"Mangsa kemudiannya dibawa keluar oleh pasukan penyelamat dari kampung itu pada 8 pagi tadi dan mengambil masa kira-kira 11 jam untuk sampai di Pos Kemar pada jam 7 petang tadi,” katanya ketika dihubungi di sini pada Ahad.

Sabarodzi berkata, antara cabaran yang dihadapi pasukan penyelamat adalah perlu menaiki bot dari kampung itu ke Pos Kemar, selain melalui jalan hutan yang berbukit, ancaman binatang buas serta talian telefon terputus sepenuhnya.

Beliau berkata, mangsa kemudiannya dihantar ke Klinik Kesihatan Pos Kemar untuk rawatan dan pegawai perubatan memaklumkan mangsa akan dihantar ke Hospital Gerik pada malam Ahad. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!